Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hormati Agama Lain Untuk Orang Lain Hormati Agama Kita

10:14am 28/12/2015 Pak Roshan 61 views Mutakhir,Nasional
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis (dua, kiri) merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan malam ini. - Foto BERNAMA

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis (dua, kiri) merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan malam ini. – Foto BERNAMA

MELAKA – Seluruh rakyat Malaysia perlu menghormati agama orang lain untuk memastikan agama mereka dihormati, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perayaan yang diraikan secara bersama rakyat negara ini seperti Krismas merupakan sebuah manifestasi bahawa seluruh rakyat Malaysia, walaupun berbeza pegangan agama, mampu menghormati agama orang lain.

“Perbezaan pegangan agama kepada kita ia adalah merupakan suatu keistimewaan untuk penganut-penganut semua agama, dalam al-Quran menyebutkan ‘you are with your religion i’m with my religion’ (untukmu agamamu, dan untukku agamaku).

“Keharmonian kita kekalkan biarpun kita berbeza agama, berbeza keturunan, kebudayaan, bahasa dan latar belakang namun sebagai rakyat Malaysia kita kekal dan kukuhkan keharmonian dan perpaduan ini sampai bila-bila,” katanya berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir di sini malam ini.

Turut hadir isterinya Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup; dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Ahmad Zahid berkata perbezaan dalam kalangan rakyat Malaysia itu tidak akan menyebabkan mereka berpecah sebaliknya suatu keistimewaan yang menjadi lambang rakyat negara ini.

Justeru beliau menyeru supaya kebersamaan sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu serta hidup aman dan harmoni di sebalik perbezaan itu dipertahankan secara bersama.

Beliau berkata mengenai peristiwa perbezaan pegangan kumpulan kecil yang merasakan diri mereka dianiaya peniaga lain tidak sepatutnya dijadikan soal atau permasalahan melibatkan perkauman.

“Perbezaan kefahaman itu adalah soal kecil yang harus diselesaikan dengan kaedah yang baik, permasalahan jenayah dikaitkan dengan jenayah akan diselesaikan oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri sentiasa komited untuk melihat bahawa negara kita aman lagi sejahtera dan harmoni sepanjang masa, asas-asas ini tentunya diwujudkan kepimpinan negara sebelum atau selepas merdeka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata hasrat pemimpin terdahulu untuk rakyat Malaysia bersama mempertahankan kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan haruslah difahami secara mendalam terutama generasi masa kini.

Beliau berkata pemimpin terdahulu melalui pelbagai kesukaran untuk memperoleh kemerdekaan dan usaha mengekalkan kesejahteraan serta kejayaan melalui kemerdekaan dicapai itu juga sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan tanpa kebersamaan.

Justeru katanya menjadi tanggungjawab semua pemimpin sama ada pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan serta masyarakat untuk menterjemahkan kebersamaan itu untuk diikuti semua rakyat Malaysia.

“Tidak harus tidak keharmonian dan kesejahteraan kita harus dipertahan dengan kebersamaan demi keamanan dan kesejahteraan negara kita,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan