Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hina TPM: Tiga NGO Sabah Buat Laporan Polis

10:33am 26/02/2016 Pak Roshan 391 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

PDRM1-600x404

KOTA KINABALU : Tiga badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial itu.

Laporan itu dibuat oleh Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Persatuan Momogun Rungus Sabah dan Kelab Kapal Belia Asia Malaysia di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu kira-kira 2 petang Khamis.

Timbalan Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah Datuk Juhari Janan yang mewakili NGO lain berkata mereka meminta polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.

“Ini adalah perbuatan biadap dan kami berharap polis dan SKMM mengambil tindakan segera untuk membawa individu ini ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu di sini.

Pada Selasa, akaun Facebook itu yang menggunakan nama Doris Jones telah memuat naik status yang seolah-olah menyamakan Ahmad Zahid sebagai anjing.

Juhari juga berharap polis bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan Doris Jones kerana individu itu, yang dipercayai penduduk Sabah yang menetap di London, pernah mencetuskan provokasi menerusi gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Sementara itu, laporan polis mengenai perbuatan menghina Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut dibuat oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Kudat Datuk Aminah Ambrose bersama-sama Wanita UMNO Bahagian Kota Kinabalu dan Tuaran di IPD Kota Kinabalu.

Aminah berkata laporan polis dibuat kerana Doris Jones juga didakwa memuat naik status yang memperlekeh UMNO di laman Facebook miliknya.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu ini sebagai pengajaran atas perbuatannya. Media sosial digunakan untuk kebaikan dan bukan mengaibkan atau mempersendakan mana-mana pihak,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan