Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Himpunan etnik Dusun Ranau serlahkan keunikan kebudayaan nenek moyang

Gimik perasmian yang disempurnakan oleh Masidi.

Ranau : Kepesatan pembangunan dan kecanggihan teknologi tidak menjadi alasan untuk 12 etnik Dusun di Ranau membelakangi adat yang diwariskan oleh nenek moyang mereka. Malah, Karnival Budaya Kanou Moginakan Ranau 2018 yang diraikan umpama yang lama dikelek, yang baharu didukung.

Karnival dua hari yang berlangsung pada 24 hingga 25 Mac lalu, berjaya menghimpunkan 10,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah. Ia adalah anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Ranau, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.29 Kundasang, N.30 Karanaan, N.31 Paginatan, dan Jabatan Muzium Negeri Sabah.

Kesinambungan, Penjenamaan Semula ‘Sunduan do Nunuk Ragang’

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Karanaan ketika berucap merasmikan karnival tersebut berkata karnival itu merupakan kesinambungan dan penjenamaan semula “Sunduan do Nunuk Ragang” yang diadakan setiap tahun di daerah ini.

Menuturnya ia juga adalah lanjutan kepada program Jejak Etnik Dusun Liwan yang dijalankan di lima buah kampung iaitu Kg. Sosondoton, Kg.Ratau, Kg.Tinatasan, Kg.Togudon Lama dan Kg Terolobou pada 24 hingga 27 Februari 2018.

Tambah Masidi, sebahagian daripada hasil penemuan mengenai warisan budaya dan seni melalui jejak Etnik Dusun Liwan turut dibawa dan dipamerkan dalam karnival berkenaan untuk tatapan umum.

“Artifak-artifak tradisi yang tersorok sekian lama penting untuk dipamerkan kepada para pengunjung karnival ini kerana kebanyakan kita, terutama para generasi muda mungkin tidak pernah melihatnya,” katanya.

Kanou Moginakan Warisan Nenek Moyang

Ketua Daerah Ranau, OKK Mohd Din Solinggong.

Sementara itu, Ketua Daerah Ranau, OKK Mohd Din Solinggong @ Lubin, 63 tahun, yang telah dilantik sejak tahun 2000 ketika ditemui menjelaskan terjemahan perkataan “Kanou Moginakan” bermaksud mari makan.

“Justeru, Upacara Kanou Moginakan ini adalah budaya warisan bukan sahaja di daerah Ranau malah turut diadakan di beberapa kawasan penempatan masyarakat Dusun.

“Majlis ini adalah tradisi yang diadakan setiap tahun di mana mereka akan berkumpul di rumah Woyudon iaitu ketua masyarakat dalam sesebuah kampung untuk memutuskan tarikh dan masa sebelum warga kampung serta sanak saudara dipanggil untuk mengadakan keramaian makan dan minum.

“Setelah tarikh ditetapkan, penduduk kampung akan mengadakan gotong-royong, biasanya mengumpul sayur-sayuran, mengumpul makanan, kayu api dan menumbuk padi,” jelas Mohd Din.

Beliau menambah, tempoh majlis moginakan itu bergantung kepada kemampuan masyarakat memperoleh hasil pertanian, hasil ladang ternakan dan mereka boleh mengadakan majlis tersebut sehingga tujuh hari tujuh malam.

“Pada masa berkumpul, selain makan minum, turut diadakan sukan rakyat, nyanyian tradisi seperti suminding, lolol, suminimbak, tontoyod, dan sebagainya. Ada juga istilah lain seperti sundait dan tarian tradisi kampung iaitu mongigol, mangalai.

“Dalam tempoh sambutan selama tujuh hari itu, perkahwinan spontan juga boleh terjadi. Biasanya, ia berlaku apabila anak dara dan teruna tertarik sesama sendiri lalu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa pada ketika itu dan majlis perkahwinan akan terus berlansung mengikut adat perkahwinan kampung,” kongsinya.

Medium Perpaduan

Salah seorang pengunjung, Norhayati Assry, 44, dari Kg Luanti Baru amat bersyukur kerana kerajaan menganjurkan program seumpama. Baginya, moginakan seperti kenduri makan sekampung dan bersesuaian dengan objektifnya seiring dengan kehendaknya yang ingin mengenali lebih banyak makanan tradisi yang terdapat di Ranau.

“Saya berharap karnival ini menjadi medium perpaduan kepada etnik-etnik dusun di Ranau tanpa mengambil kira perbezaan fahaman agama. Begitu juga dengan sukan tradisi yang kita lihat mampu menarik minat serta penyertaan golongan muda,” ujar Norhayati.

Pengisian Program Meriah

JUARA…..“Pertabalan Huguan Siou” dari Mukim Paus/Paginatan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival berkenaan adalah perarakan budaya bertemakan adat dan tradisi etnik Dusun Ranau oleh 10 penyertaan. Johan disandang oleh Mukim Paus/Paginatan, tempat kedua dimenangi mukim Lohan/Bongkud, sementara tempat ketiga ialah Kg Mininsalu.

Turut diadakan, pertandingan Battle of the Band, Pertandingan Bosou Ikan Dusun Ranau Terbaik dan Paling Sedap dan Pertandingan Bosou Sayur Terbuka serta Pertandingan Peragaan Pakaian Kreatif Moden Tradisi Sabah yang mendapat sambutan meriah.

Program Jejak Khazanah Kita 2018

Turut dilancarkan pada karnival ini adalah Program Jejak Khazanah Kita 2018 yang diperkenalkan oleh Jabatan Muzium Negeri. Ia adalah langkah permulaan untuk mencapai objektif penguatkuasaan Enakmen Warisan Negeri 2017 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri pada November 2017.

Enakmen itu juga memberi bidang kuasa lebih luas kepada Jabatan Muzium Negeri untuk melaksanakan program-program melestari, melindungi, memulihara, memelihara dan mempromosi khazanah budaya kita samada “Budaya Ketara” (Tangible Culture) mahupun “Budaya Tidak Ketara” (Intangible Culture)./Penerangan-

Permainan tradisi.

Komen


Berita Berkaitan