Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Heroin baru buat hal

fazil teh

KOTA KINABALU: Penerbit popular syarikat Zeel Production, Fadzil Teh mengakui pelakon wanita generasi baharu antara yang sering menyusahkan produksi.

Beliau yang aktif menerbitkan drama, berkata senario ini menjadi sesuatu yang biasa apatah lagi senarai pelakon yang diingini antara yang diminta stesen TV.

Katanya, untuk penggambaran telefilem contohnya produksi memerlukan khidmat mereka selama seminggu bagi bayaran sekitar RM8,000 hingga RM10,000.

“Masalahnya selepas bersetuju pihak pelakon wanita itu akan memberikan jadual dengan menjelaskan mereka hanya boleh memberi komitmen dua hingga tiga hari saja.

“Biarpun hakikatnya dengan bayaran yang dipersetujui, komitmen mereka perlu penuh. Malah ada antara heroin baharu ini berani ambil dua tawaran dalam satu masa selain perlu mengikut jadual kuliah mereka.

“Mahu atau tidak, khidmat mereka tetap diperlukan apatah lagi nama mereka diminta stesen TV. Selagi pelakon yang itu tak dapat memberi komitmen maka penggambaran belum bisa diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, akibat senario sebegini juga, tempoh penggambaran boleh terlajak menjadi dua minggu.

“Ini antara dilema kita sebagai penerbit drama. Namun atas paksi minat dan menjaga hubungan baik dengan stesen TV, perkara ini tetap diharungi.

“Ia berbeza dengan penerbit baharu terutamanya dalam menerbitkan telefilem yang mengharapkan keuntungan tetapi tak bertahan lama kerana tertekan dengan kehendak stesen TV dan kerenah artis.

“Sebab itu kita akan lihat penerbit lama terus bertahan hingga dianggap wujud istilah kronisme. Membikin telefilem ini memang tak menguntungkan tapi ia batu loncatan dalam melobi stesen TV untuk ditawarkan slot drama episod pula,” katanya yang mengakui penggambaran drama lebih menguntungkan berbanding telefilem.

Dalam perkembangan terbaharu, syarikat miliknya kini sedang menjalankan penggambaran drama ‘Maaf Jika Aku Tak Sempurna’ yang diadaptasi daripada novel nukilan Acik Lana.

Drama 32 episod arahan Shuhaimi Lua itu akan menghiasi slot Akasia TV3 pada jam 7 malam bermula 2 September depan. Ia membariskan Sara Ali dan Fahrin Ahmad sebagai teraju utama.

“Sejujurnya menerbitkan slot Akasia ini cukup memberi tekanan hebat. Ini kerana syarikat produksi berlumba-lumba secara positif menghasilkan drama yang terbaik.

“Slot Akasia TV3 sering menjadi perhatian kerana beberapa buah drama slot ini meninggalkan impak dan mencapai rating yang tinggi. Jadi ramai yang akan menunggu sama ada drama di slot ini akan meletup atau sebaliknya.

“Jika meletup drama ‘Maaf Jika Aku Tak Sempurna’ ini ia akan memberi impak kepada semua termasuk pihak penerbit, pelakon, penulis skrip, novel itu sendiri dan tenaga kerja yang terbabit,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan