Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hentikan Cakap-Cakap Sabah akan keluar Malaysia

musaa

KOTA KINABALU– Kerajaan Negeri Sabah tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan yang menghasut dan menyebarkan cakap-cakap dan desas-desus bahawa negeri ini akan keluar daripada Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata cakap-cakap itu bukan sahaja merupakan satu hasutan tetapi boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia di Sabah selama ini.

“Cukup-cukup lah. Jangan ancam dan cabar perlembagaan negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Musa berkata pandangan kumpulan terbabit tidak mewakili majoriti, dan percaya bahawa penduduk Sabah umumnya taat setia pada Malaysia.

“Kumpulan ini boleh buat banyak dakwaan yang mereka mempunyai ramai pengikut. Bagaimanapun, apa yang paling malang adalah terdapat ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan mewajarkan tindakan seperti ini demi kepentingan agenda mereka sendiri,” katanya.

Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata kerajaan persekutuan telahpun menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan rakan penting dalam persekutuan.

Beliau berkata berbilion-bilion ringgit disalurkan kepada kedua-dua negeri setiap tahun untuk membiayai pelbagai projek dan program untuk faedah rakyat.

“Kami tahu masih banyak yang perlu dilakukan dan isu untuk diselesaikan. Banyak kerja yang sedang dilakukan di Sabah dan kami sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap isu-isu. Kami adalah sebuah masyarakat sivil dan negara yang berpaksikan undang-undang, yang tiada ruang bagi keangkuhan dan ekstremisme,” kata Ketua Menteri.

Rabu lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata polis Sabah telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti kenyataan berbaur hasutan mendesak agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Beliau berkata polis telah menerima laporan tentang satu kumpulan yang sedang giat menggerakkan usaha untuk Sabah keluar daripada Malaysia, menerusi laman sosial seperti blog, Facebook dan Twitter.

Komen


Berita Berkaitan