Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hebatnya Kisah Keislaman Dan Keyakinan Al-Khansa’: Ibu Empat Orang Syahid

Gambar Hiasan

Nama sebenarnya ialah Tumadhar binti ‘Amr bin Syuraid bin ‘Ushayyah as-Sulamiyah al-Harits atau lebih dikenali sebagai Al-Khansa’. Beliau merupakan salah seorang sahabat wanita yang mulia dan sangat terkenal sebagai penyair.

Al-Khansa’ telah bernikah dengan Rawahah bin Abdul Aziz as-Sulami dan dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki iaitu, Yazid, Mu’awiyah, ‘Amr dan ‘Amrah.

Sebelum memeluk Islam, beliau seorang wanita yang bijaksana dan cerdas serta berpengetahuan tinggi dalam bidang puisi. Beliau pernah dinobatkan sebagai ‘pakar syair wanita’ di Tanah Arab ketika itu. Selain itu, Al-Khansa’ turut memiliki keperibadian mulia, berpandangan tajam, sabar dan berani.

Namun begitu, beliau tetap berasakan hidup yang dijalaninya itu seakan tidak lengkap. Lalu, Al-Khansa’ mengambil keputusan untuk memeluk Islam dengan menemui Rasulullah SAW bersama-sama rombongan kabilahnya, Bani Sulaim.

“Jika dahulu, aku menangisi kehidupanku, namun kini aku menangis kerana takut akan seksaan api neraka.”

Ujar al-Khansa’ setelah memeluk Islam.

Sejak itu, kehidupan Al-Khansa’ mulai berubah sehinggakan, beliau sanggup mengorbankan segala yang dimlikinya demi membela agama yang baru dianutnya itu. Kuatnya pegangan Islam Al-Khansa’ menjadikannya seorang ibu yang berjaya mendidik keempat-empat puteranya hingga beroleh syahid.

Suatu hari, ketika kaum Muslimin bersiap sedia menghadapi Perang Qadisiyah yang berlaku semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, Al-Khansa’ bersama empat orang puteranya tidak melepaskan peluang untuk sama-sama berjuang memerangi pasukan Parsi. Sehari sebelum berperang, Al-Khansa’ menyampaikan beberapa wasiat kepada keempat-empat orang anak yang dikasihinya itu.

“Wahai putera-puteraku, kalian semua memeluk Islam dan berhijrah dengan penuh kerelaan. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian adalah keturunan dari satu ayah dan satu ibu. Aku tidak pernah merendah-rendahkan kehormatan mahupun mengubah keturunan kalian. Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan akhirat itu jauh lebih baik berbanding dunia yang fana ini.”

Al-Khansa’ berkata dengan penuh syahdu. Pesan al-Khansa’ lagi sambil didengar dengan teliti oleh anak-anaknya,

“Wahai putera-puteraku, sabar, tabah, dan bertakwalah kepada Allah SWT. Semoga kalian menjadi orang-orang yang beruntung. Jika kalian mendengar seruan untuk berjihad, maka terjunlah ke medan peperangan dan perangilah musuh kalian dengan gagah berani. Dan, mintalah kemenangan dan pertolongan kepada Allah SWT atas musuh-musuhNya.”

 Dalam Perang Qadisiyah yang berlaku pada tahun 636 Masihi di sempadan Kufah, Iraq ini, tentera Islam dipimpin oleh Sa’ad bin Abi Waqas atas arahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Manakala pasukan lawan daripada pihak Parsi Sassanid pula diketuai oleh Rustam Farrukhzad; Gabenor Wilayah Madain, ibu kota Parsi ketika itu.

Pihak musuh yang berperisaikan gajah langsung tidak membuatkan pasukan Muslimin gentar, walaupun mereka hanya menggunakan kekuatan kuda sahaja. Perang yang berlangsung selama empat hari itu akhirnya membawa kemenangan bagi pihak Muslimin. Sejak itulah empayar Parsi Sassanid mulai jatuh dan membawa penyebaran Islam di sekitar Parsi.

Selesai peperangan, Al-Khansa’ setia dan sabar menunggu khabar mengenai keempat-empat orang puteranya itu. Tidak lama kemudian, datang seorang utusan membawa khabar bahawa anak-anak Al-Khansa’ semuanya telah syahid dalam peperangan itu. Tanpa sedikitpun kesedihan dan penyesalan, Al-Khansa’ dengan yakin berkata,

“Segala puji bagi Allah yang telah memuliakan aku dengan kematian mereka. Aku berharap Tuhanku mengumpulkan aku bersama mereka dalam kasih dan sayang-Nya.”

Perang yang telah mengorbankan hampir 7,000 orang tentera Muslimin termasuk anak-anaknya dianggap sebagai kenangan indah buat Al-Khansa’. Khabar sedih itu langsung tidak dikesalkan mahupun ditangisi bahkan diterimanya dengan penuh reda dan bersyukur.

Begitu tulusnya hati Al-Khansa’ terhadap Islam dan keimanannya yang teguh kepada Allah SWT. Beliau meninggal dunia pada awal pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, iaitu pada tahun 24 Hijrah.

Semoga kisahnya dapat menyuburkan hati kita yang kontang. Mudah-mudahan, Allah SWT merahmatinya. Amiin.

“(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, tetapi mereka hidup dan diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurniaan yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang, janganlah mereka takut dan sedih.
Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan daripada Allah dan kurniaNya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman).”(Ali Imran : 169-171)

(Sumber: Tazkirah.net oleh Marina)

Komen


Berita Berkaitan