Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hayati pengertian ibadah korban

 

Azhar Matusin (kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang pengerusi masjid sempena majlis penyerahan lembu untuk ibadah korban. – Gambar SNT / Ehsan Jaafar Wahid

KARAMBUNAI: Umat Islam perlu menghayati ibadah korban yang dilaksanakan dengan sepenuh hati bagi meningkatkan tahap pengorbanan diri mereka kepada agama.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Azhar Matusin berkata, umat Islam perlu memahami maksud dan pengertian di sebalik ibadah korban itu kerana ia berkait rapat dengan kehidupan seharian.

Katanya, menerusi kefahaman mendalam berhubung amalan tersebut, ia bukan sahaja mampu mendorong seseorang itu untuk memiliki sikap serta jati diri mapan, malah memberi manfaat kepada seluruh alam.

“Umat Islam perlu menghayati dan menterjemahkan pengertian ibadah korban dalam kehidupan seharian bagi membolehkan mereka memiliki daya saing serta mempunyai jati diri yang kuat bagi menghadapi cabaran semasa.

“Dunia sekarang semakin mencabar menuntut setiap individu untuk lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan, malah sedia berkorban demi agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan lembu untuk ibadah korban sempana sambutan Hari Raya Aidiladha bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Karambunai (DUN) di Masjid Kauthar Kampung Karambunai hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 20 ekor lembu diagih-agihkan untuk beberapa buah masjid dan surau bagi kawasan Karambunai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, perkara seumpama itu seharusnya menjadi satu keinsafan dan pengajaran berguna bagi menilai diri terhadap segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Jelasnya, nikmat kemakmuran dan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara selama ini seharusnya dipertahankan agar terus kekal kukuh, seterusnya berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju jaya. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan