Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hayati al-Quran, tangkis ancaman pesongkan akidah

MUSA-WACANA
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman

 

KOTA KINABALU – Kesatuan dan perpaduan semua lapisan rakyat sudah tentu dapat menangkis gerakan pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam dengan pelbagai fahaman dan teori menyesatkan.

Mengingatkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan, tanpa kesatuan dan perpaduan jitu, negara dan rakyat akan menjadi lemah selain terdedah kepada sebarang ancaman dalaman mahu pun luaran.

“Melihat kepada perkembangan semasa, ancaman ini semakin membimbangkan kita sebagai umat Islam, termasuklah gerakan untuk memesongkan akidah dengan pelbagai fahaman dan teori yang menyesatkan.

“Semua ini antara lain berpunca daripada kurangnya penghayatan terhadap ajaran Islam yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri di Dewan Seri Sulaman, di sini malam ini.

Musa berkata, al-Quran menjadi sumber rujukan untuk membangunkan tamadun manusia yang lengkap dengan ajaran dan khazanah ilmu pengetahuan, bagi memenuhi keperluan ummah seiring dengan tuntutan syariat.

Sehubungan itu, jelas beliau lagi amat penting bagi umat Islam untuk memahami, mendalami dan menghayati setiap isi kandungan al-Quran.

“Saya percaya, penghayatan dan ketaatan sepenuhnya terhadap perintah dan ajaran al-Quran antara lain membolehkan umat Islam menghayati nilai perpaduan dan tuntutan melakukan transformasi demi kesucian agama, bangsa dan negara yang aman, makmur dan sejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan terus memperkasa dan memantapkan lagi usaha untuk meningkatkan syiar Islam di seluruh negeri termasuk mengimarahkan institusi masjid, sekolah agama dan pusat tahfiz.

Dalam aspek syariah pula, baru-baru ini kerajaan negeri dan kerajaan Pusat telah mengorak langkah menerusi pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabtakan lagi institusi mahkamah syariah di negeri ini.

“Kita di Sabah juga bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan adanya nikmat kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial serta semangat perpaduan rakyat. Semua ini terhasil dengan adanya komitmen dan usaha berterusan kerajaan, sokongan dan kerjasama rakyat serta penghayatan ajaran Islam yang berteraskan kepada al-Quran.

“Ini kerana kita menyedari bahawa kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat tidak akan tercapai sepenuhnya selagi kita tidak menghayati dan ajaran Islam yang sebenar. Justeru, sebagai umat plilihan yang terbaik dan menjadi contoh kepada umat yang lain, amat penting untuk kita memastikan agar apa juga tindakan dan langkah yang diambil, hendaklah berpandukan kitab al-quran dan sunnah Rasulullah SAW.,” jelas beliau lagi. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan