Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Harimau Malaya Bertukar Kepada Harimau Malaysia

11:53am 03/02/2016 Pak Roshan 322 views Mutakhir,Sukan

harimau

KUALA LUMPUR — Pasukan bola sepak kebangsaan yang sebelum
ini digelar ‘Harimau Malaya’, kini dikenali dengan jolokan ‘Harimau Malaysia’.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad
Shah yang mengumumkan perkara itu, hari ini berharap gelaran baharu itu dapat
menyuntik semangat pemain dan penyokong agar skuad negara mampu mencipta lebih
banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

“FAM berasa gelaran Harimau Malaya tidak lagi sesuai diguna pakai kerana
perkataan Malaya itu sendiri tidak dipakai secara menyeluruh di negara ini
selepas pembentukan Malaysia pada 1963. Saya berharap gelaran ini bertepatan
untuk menggambarkan skuad kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, saya tidak mahu nama sahaja baharu, malah mahu pemain mempunyai
semangat baharu untuk mencapai kejayaan…Harimau Malaysia yang lebih garang dan
boleh menggaum berdepan pasukan lain, sekurang-kurangnya di rantau Asia
Tenggara,” katanya pada majlis pengenalan penaja skuad kebangsaan di sini.

Beliau turut berharap skuad kebangsaan yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee
secara rasminya bermula 18 Jan lepas, tidak akan mengulangi prestasi memalukan
selepas ini.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani penajaan skuad kebangsaan
yang diwakili Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Telekom
Malaysia, Nike, 100 Plus dan Bank Islam.

Telekom Malaysia yang merupakan penaja utama pasukan kebangsaan sejak 2011,
telahpun memeterai pembaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun sehingga
2020, namun jumlah penajaan tidak didedahkan.

Naib Presiden FAM Datuk Sudarsono Osman berkata keputusan menukar gelaran
skuad kebangsaan itu, turut dapat mempamerkan perpaduan nasional di samping
menghargai sumbangan penduduk Sabah dan Sarawak kepada pasukan negara.

“Saya gembira dengan keputusan ini, kerana sebelum ini pernah ada penyokong
Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan perkara ini. Saya berharap mereka akan
gembira selepas ini,” katanya.

Pada tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pernah
menyuarakan saranan supaya gelaran Harimau Malaysia diguna pakai untuk merujuk
kepada skuad kebangsaan berbanding Harimau Malaya, yang seolah-olah seperti
penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

Selain itu, FAM juga melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia,
bagi mencipta imej baharu pasukan kebangsaan yang menawarkan hadiah wang tunai
RM10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada Kejohanan AFF Suzuki
pada akhir tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai peraduan itu boleh diperoleh di laman sesawang
rasmi FAM, www.fam.org.my atau Facebook, Football Association of Malaysia
(Official) dan juga akaun Twitter @FAM_Malaysia.– BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan