Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hari Orang Asal Pada 8-9 Ogos Di Kiulu

Tangau (tiga dari kanan) berbincang sesuatu dengan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah Tan Sri Wences Angang dan AJK lain. Gambar SNT/Ehsan Jabatan Penerangan

 

KOTA KINABALU: Sabah akan meraikan Hari Orang Asal Sedunia pada 8 dan 9 Ogos ini bertujuan mewujudkan lebih kesedaran di kalangan orang ramai dan khususnya pembuat dasar mengenai hak orang asal.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata ini adalah kali pertama kerajaan negeri menganjurkan acara itu untuk memperingati hari Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asal (UNDRIP) diangkat oleh badan dunia itu 11 tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Kewangan di sini hari ini, Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata 20 persatuan etnik Sabah turut mengambil bahagian dalam acara dua hari di Dewan Masyarakat Kiulu itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan merasmikan sambutan itu pada 9 Ogos.

Menurut Tangau, kesedaran tentang UNDRIP amat penting memandangkan ia bukan merupakan instrumen undang-undang tetapi PBB telah menyifatkannya sebagai menetapkan “satu standard penting untuk orang-orang asal dan pastinya akan menjadi alat penting untuk menghapuskan pencabulan hak asasi terhadap 370 juta penduduk orang asal dan membantu mereka dalam memerangi diskriminasi serta peminggiran.”

Sehubungan itu, beliau berkata adalah mustahak bagi pembuat dasar dan ketua-ketua jabatan kerajaan supaya lebih mengetahui UNDRIP agar hak-hak masyarakat orang asal di Sabah tidak akan terlepas pandang dalam merangka dasar atau program.

Tangau berkata kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri perayaan tersebut di mana pelbagai aktiviti telah disediakan seperti pameran makanan tradisional, alat tradisional, pertandingan Bosou (jeruk) serta cabutan pengunjung bertuah.

Pengunjung perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu agar layak mendapat hadiah cabutan bertuah yang termasuk seekor kerbau, kambing, ayam dan itik.

Para pemenang akan diumumkan pada 9 Ogos.

Selain itu, terdapat juga ceramah tentang harta intelektual dan hak orang asal serta persembahan kebudayaan oleh persatuan-persatuan etnik di kemah masing-masing.

“Kami mahu supaya semua ketua-ketua jabatan kerajaan dijemput menghadiri ceramah ini supaya mereka dapat memahami UNDRIP dengan lebih lanjut,” kata Tangau.

Acara itu adalah kerjasama antara beberapa agensi kerajaan dan Upko yang telah menganjurkan sambutan itu sendiri pada tahun-tahun lepas menjadi sekretariat.-Oleh Chris Maskilone/SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan