Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hari Malaysia, Apa kata mereka?

(Dari kiri) Noraisyah, Muniyamma, Almain dan Mustapa.

Hari kebesaran bagi rakyat negara ini, Hari Malaysia akan tiba tidak lama lagi. Sama ada sedar atau tidak, sudah lebih lima dekad tiga wilayah bergabung membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Bahkan pada hari ini, rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung mampu hidup bersama-sama dengan aman sentosa, membangunkan negara serta mempertahankan tanah air tercinta. Mereka bebas berasimilasi di mana jua demi menyuburkan integrasi nasional.

Orang Sabah di Semenanjung

Wartawan Kosmo, Mustapa Lakawa, 37, dari Keningau mula berhijrah ke Semenanjung sejak tahun 1999 ketika melanjutkan pelajaran ke Universiri Kebangsaan Malaysia Bangi. Pada tahun 2004, dia memulakan karier sebagai wartawan akhbar terbitan Kumpulan Utusan, Kosmo.

Beliau pernah menjadi Ketua Biro di Terengganu pada tahun 2010, sebelum berkhidmat di negeri sendiri pada 2012 hingga 2016 dan terlibat secara langsung dalam liputan media Ops Daulat dan Tragedi Gempa Bumi Sabah. Kini, Mustapa kembali bertugas di Ibu Pejabat Kuala Lumpur.

“Menjadi rakyat Sabah yang berpeluang menimba pengalaman di Semenanjung merupakan pengalaman yang luar biasa bagi orang kampung seperti saya.

“Melihat sendiri pembangunan negara dibentuk dari pelbagai sudut sebagai seorang pengamal media, sesungguhnya, saya berasa sangat bertuah kerana kewujudan Malaysia telah membuka peluang seluas-luasnya buat anak-anak Sabah menimba pengalaman serta berkongsi budaya dan sosio ekonomi. Ia menjadikan kita semakin matang,” kongsi Mustapa.

Begitu juga dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Almain Ajirul yang memegang jawatan tersebut sejak 25 April 2016. Beliau adalah Pengarah Penerangan Sabah, selepas tiga tahun menjadi Pengarah Penerangan Johor.

“Saya amat bangga dengan kemajuan dan kejayaan Malaysia. Walaupun baru ditubuhkan 54 tahun yang lalu, tetapi kini memiliki pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang setanding negara-negara maju.

“Inilah antara kesungguhan kepimpinan negara kita dengan kerjasama padu rakyat dan pastinya, perpaduan kaum dan keharmonian mantap yang telah mmbawa Malaysia ke tahap ini,” ujar Almain.

Orang Semenanjung di Sabah

Abdul Kadir (tiga dari kanan) bersama isteri dan anak serta cucu yang sudah menetap 40 tahun di Sabah.

Berada 40 tahun di Sabah, membuat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BTC, Datuk Abdul Kadir, 60, berasal dari Setiawan Perak mengagumi keharmonian kaum rakyat di negeri di bawah bayu, yang padanya amat berbeza dengan Semananjung.

“Di sini sangat harmoni dan unik, walaupun ada pelbagai agama, bahasa, suku kaum tetapi kita tetap hidup bersatu hati dan saling menghormati.

“Dalam adik beradik, hanya saya berkahwin dengan wanita dari Semenanjung. Abang-abang saya berkahwin dengan wanita berbangsa Dusun, Bajau dan Cina. Malah, menantu sulung saya adalah wanita Kadazan dari Penampang,” katanya sambil berseloroh.

Ariff berjiwa pengembara.

Lain ceritanya dengan Jurufoto Jabatan Penerangan Sabah, Abdullah Sani Ariff Lokman, 27, anak jati Kelantan yang suka mengembara memilih Sabah sejak Ogos 2014 atas kehendaknya sendiri. Dia meninggalkan tempat bertugas lama, di Kementerian Pengajian Tinggi dan kampung halaman demi mencari pengalaman dalam hidupnya.

“Oleh kerana Sabah paling jauh, jadi saya pilih Sabah dan mendapat galakan daripada kedua orang tua. Pada zaman teknologi ini, tidak susah untuk berhubung kerana ada telefon pintar boleh buat panggilan video dan sebagainya.

“Kita sudah ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu (BKI) ke Kota Baharu Kelantan (KBR) yang hanya mengambil masa 2 jam 30 minit, jadi agak mudah untuk balik kampung,” jelas Ariff yang telah menjelajah ke lebih 10 negara.

 

Orang Sarawak di Sabah

“Tiada sebarang masalah dan memang selesa kerana suasana dan budaya hidup berbilang kaum sama saja seperti di Sarawak,” kata Anggota Tugas Am di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Siti Norayaisah Bujang, 27, yang berasal dari Kuching.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu sudah empat tahun bertugas di Sabah, kini aktif sebagai Artis Budaya Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan belum merancang untuk balik ke kampung.

 

Orang Sabah di Sarawak

Ruslin (dua dari kiri) hampir 40 tahun bermaustatin di Sarawak bersama isteri dan tiga anak.

Bagi ayah kepada tiga anak berasal dari Papar, Koperal Ruslin Abdullah, 45, pula tempoh 30 tahun bermaustatin di Sarawak memberitahu suasana dengan Sabah tidak jauh beza. Dia yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Sarikei akan balik ke kampung pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dari segi budaya tiada beza sangat, saya boleh makan makanan Sarawak dan isteri saya orang Sarawak sekarang sudah mahir masak menu tradisi Sabah. Dari segi perjalanan tu, saya yakin Projek Pan Borneo akan memberi manfaat dengan memendekkan masa perjalanan untuk ke Sabah dan sebaliknya,” kata Ruslin.

Teruskan Sambutan Hari Malaysia

Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hambra.

Ironinya, bagi Ahli Perniagaan dan juga Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Al Hambra Tun Dr Juhar, 34, tarikh keramat 16 September perlu terus diperingatkan kepada generasi muda menerusi sambutan yang dirayakan seluruh lapisan masyakat.

“Saya sarankan sambutan Hari Malaysia diteruskan supaya generasi depan tahu dan menghargai sejarah pembentukan Malaysia. Apabila masyarakat di tiga-tiga wilayah saling memahami dan menghormati sensitiviti masing-masing, maka lahirlah masyarakat yang dikagumi dunia iaitu rakyat 1Malaysia yang sehati dan sejiwa,” luahnya penuh berharap.

Setuju dengan pendapat Al Hambra, Pembantu Penerbitan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Muniyamma A/P Marapen. Pengalaman dua tahun bertugas di Sabah mengajar dirinya lebih berfikiran terbuka, menerima perbezaan dan merai persamaan.

“Marilah kita sama-sama raikan perbezaan, utuhkan persamaan dan kekalkan persahabatan. Kekalkan sikap saling menghormati agama, bangsa dan adat kaum masing-masing. Hari Malaysia perlu dirayakan seperti mana Hari Kebangsaan 31 Ogos, kedua-duanya sama penting,” kata Muniyamma.

 

Sehati Sejiwa

Justeru, Hari Malaysia membawa makna yang signifikan untuk seluruh rakyat negara ini. Setiap individu tidak kira dari wilayah mana berupaya menyumbang kepada negara baik dalam bidang pendidikan, sukan, teknologi maklumat, pembangunan infrastruktur, aero angkasa dan sebagainya kerana inilah nikmat Negaraku Sahati Sejiwa./Penerangan-

Komen


Berita Berkaitan