Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hari Bahasa Inggeris Setiap Selasa Bagi Sekolah Di Sabah

6:05pm 16/02/2016 Pak Roshan 659 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

TUARAN : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah hari ini mengumumkan setiap Selasa akan ditetapkan sebagai Hari Bahasa Inggeris untuk komuniti pendidikan, termasuk mereka yang bekerja di pejabat pendidikan.

Pengarahnya, Datuk Jame Alip berkata pengurusan sekolah juga sangat disarankan untuk mewujudkan suasana yang menyediakan lebih banyak peluang bagi pelajar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Dalam masa yang sama, guru bahasa Inggeris juga perlu meningkatkan kaedah pengajarannya bagi menimbulkan minat dalam kalangan pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan bahasa Inggeris di luar kelas menerusi aktiviti ko-kurikulum dan mengadakan kempen membaca dalam bahasa Inggeris secara berterusan.

“Kami akan mengukuhkan program sedia ada di sekolah dan dalam masa yang sama kami menggalakkan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan pejabat pendidikan daerah untuk bertutur dalam bahasa Inggeris khususnya pada setiap Selasa,” katanya pada majlis pelancaran Program Hari Bahasa Inggeris di sini hari ini.

Jame berkata program itu selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Kami perlu memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi di semua sekolah kebangsaan dan menengah serta memastikan setiap murid dapat menguasai kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan akan bekerjasama khususnya dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Kami berharap ia akan mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta memperbaiki pencapaian setiap murid. Ini merupakan tanggungjawab bersama untuk memupuk keyakinan menggunakan bahasa Inggeris.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah terhadap inisiatif Program Hari Bahasa Inggeris ini.

Program ini bertujuan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di luar bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun ketika melancarkan program itu.

Musa berkata walaupun bahasa lain juga ditutur secara meluas, bahasa Inggeris merupakan bahasa pengantar rasmi di banyak negara.

“Kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris sangat diperlukan kerana ia bahasa perniagaan dominan.

Maklum balas yang diterima dari seluruh dunia menunjukkan bahawa komunikasi perniagaan merentas sempadan biasanya dikendalikan dalam bahasa Inggeris,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan