Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,639

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hargai Pengorbanan Pasukan Keselamatan

3:49pm 01/07/2016 Pak Roshan 300 views Mutakhir,Nasional

askar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat supaya bersama-sama menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga untuk menjaga keamanan negara.

Perdana Menteri berkata mereka kini sedang berkhidmat di serata tanah air bagi memastikan rakyat dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri dalam keadaan aman dan harmoni.

“Saya ingin mengambil peluang memperingati pasukan keselamatan kita yang tidak dapat meraikan hari perayaan bersama keluarga mereka.

“Amat besar jasa mereka dan kita rakyat Malaysia memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka,” katanya dalam ucapan bertajuk, Malam-Malam Terakhir Ramadan dan Syawal Yang Bakal Tiba yang dimuat naik dalam blog NajibRazak.com hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata Ramadan merupakan bulan untuk beribadah, manakala Aidilfitri bagi meraikan kejayaan beribadat sepanjang bulan Ramadan.

Beliau turut mengajak umat Islam supaya bersama-sama melengkapkan ibadah dalam bulan Ramadan dengan cuba mendapatkan keberkatan lailatulqadar.

“Sesungguhnya malam lailatulqadar ini menjanjikan berlipat ganda atas segala amalan yang kita lakukan di samping mendapatkan keampunan daripada Allah SWT,” kata Najib.

Menjelang malam-malam terakhir Ramadan dan Syawal yang semakin hampir, Perdana Menteri juga percaya ramai sudah mula berasa teruja untuk pulang beraya di kampung.

“Pada masa ini, tentunya ada yang sudah memulakan perjalanan pulang ke kampung. Berhati-hatilah di jalan raya. Kita ingin sampai ke destinasi dengan selamat.

“Biarlah ibu bapa atau datuk dan nenek dapat menerima kita di kampung dalam keadaan ceria,” kata beliau. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan