Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Harga barang di Sabah catat kenaikan 10 peratus

OPS CATUT…. Alias bersama-sama penguatkuasa KPDNKK lain melakukan pemeriksaan harga secara mengejut di salah sebuah pasaraya . – foto Ille Liyana / sayangsabah
OPS CATUT…. Alias bersama-sama penguatkuasa KPDNKK  melakukan pemeriksaan harga secara mengejut di salah sebuah pasaraya . – foto Ille Liyana / sayangsabah

KOTA KINABALU – Barangan keperluan di beberapa daerah di negeri ini mencatat kenaikan harga secara purata sebanyak 10 peratus yang disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk bencana banjir.

Sandakan, Tawau, Beaufort, Semporna dan Lahad Datu mencatat kenaikan harga purata 10 peratus. Manakala harga barangan di Kota Kinabalu, Keningau, Tuaran dan Kudat kekal sejajar dengan harga runcit pasaran.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Alias Ahmad, berkata pelbagai faktor boleh mengakibatkan naik turun sesuatu harga barangan keperluan, termasuk isu berkaitan keselamatan dan bencana alam.

“Bagaimanapun, terdapat juga aktiviti penurunan harga jualan barangan keperluan sebanyak 2 hingga 5 peratus di beberapa kawasan di Sabah,” katanya kepada media selepas mengetuai Ops Catut yang dibuat secara bersepadu antara Penguatkuasa KPDNKK dan Jabatan Imigresen di Foh Sang Luyang di sini hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjadikan faktor berkenaan sebagai alasan untuk mereka menaikkan harga barang jualan mereka dengan tidak berpatutan.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011, terhadap peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan,” tegas beliau.

Alias juga berkata, pihak KPDNKK akan terus menjalankan pemeriksaan di semua premis perniagaan di seluruh negara bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan melebihi harga kawalan boleh dikompaun RM50,000 atau didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Manakala bagi kesalahan tersebut yang dilakukan oleh syarikat, kompaun sebanyak RM250,000 atau denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan.

Peniaga yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga pada produk jualan mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000. Manakala bagi syarikat pula yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atau denda sehingga RM20,000.

Sehubungan itu, Alias menasihati para peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelak dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa berkenaan.

Sementara itu, Penolong Kanan Pengurus pasaraya Milimewa, Fong Nyuk Fong berkata, rangkaian pasaraya Milimewa tidak menaikkan harga jualan barangan dengan sewenang-wenangnya.

“Pihak Milimewa sentiasa mengikut garis panduan harga yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sebanyak 60,543 premis di seluruh negara telah diperiksa sepanjang Ops Catut dijalankan dalam tempoh 15 hingga 23 Januari tahun ini.

Daripada jumlah itu, Sabah mencatat bilangan kedua tertinggi iaitu 1,163 premis diperiksa yang menyaksikan dua Notis Ops Catut dikeluarkan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan. – oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan