Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,671

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Hantar Sisa Makanan Ke Kilang Pemprosesan Baja Organik

Timbalan Ketua menteri merangkap menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Yahya Hussin

Timbalan Ketua menteri merangkap menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Yahya Hussin

KOTA KINABALU – Pengusaha restoran dan hotel di Sabah disaran menghantar sisa makanan ke kilang pemprosesan baja organik yang ada di negeri ini untuk diproses menjadi produk baja bersifat mesra alam, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Makanan negeri berkata dengan menghantar sisa makanan di kilang berkenaan, ia dapat mengurangkan pencemaran selain melupuskan sisa makanan secara lebih efektif dan inovatif.

“Kawasan-kawasan perumahan juga boleh melakukan perkara sama dengan menghubungi seterusnya menghantar sisa makanan ke kilang memproses baja organik untuk dijadikan produk baja yang bermanfaat kepada sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat Glomus Ecology Sdn Bhd, sebuah kilang pemprosesan baja organik, yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, Selasa.

Menurutnya syarikat terbabit boleh digunakan sebagai saluran melupuskan pembuangan sisa makanan yang lebih efisien memandangkan mereka menawarkan dan menerima sisa makanan untuk diproses menjadi baja organik.

Mengenai baja organik, Yahya turut menyarankan petani tempatan supaya memilih baja itu kerana ia bersifat mesra alam dan selamat selain tidak mengandungi bahan kimia yang membahayakan kesihatan.

“Penggunaan baja organik juga boleh meningkatkan produktiviti dan kualiti tanaman serta kebersihan kebun terjaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Glomus Ecology Sdn Bhd Julian Mickey Niun berkata syarikat itu mencatat sehingga 1,000 tan metrik penjualan baja organik tahun lepas.

Melihat kepada permintaan menggalakkan itu, Julian berkata, syarikat tersebut akan mengembangkan lagi potensi dengan membina sebuah kilang memproses baja organik untuk menghasilkan 12,000 metrik tan baja organik setahun.

Glomus Ecology Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 2010 itu, merupakan kilang pemprosesan baja organik pertama di Sabah berkonsepkan teknologi hijau dengan memproses semula sisa makanan kepada baja organik dalam tempoh 24 jam. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan