Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

HAMID APDAL BERTANDING TIMBALAN PRESIDEN SAFA

Haji Hamid Apdal semasa sidang media itu. Gambar SNT/Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Usahawan, Haji Hamid Apdal hari ini mengumumkan pencalonannya untuk mengisi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Sabtu ini.

Hamid, 53 yang pada mulanya menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden mengubah fikiran kerana mengambil kira pandangan serta nasihat daripada abangnya yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saya menyahut saranan abang saya bahawa tidak ada gunanya untuk kita pergi (menjadi presiden) jika tidak dapat memberikan tumpuan sepenuh masa dan bukan kerana saya tidak mahu meneruskannya (hasrat bertanding presiden).

“Adalah lebih baik sekiranya jawatan presiden itu dipegang oleh seseorang yang dapat luangkan lebih banyak masa dan beri sepenuh tumpuan demi membawa sukan bola sepak Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Petagas.

Sementara itu, Hamid juga memberitahu manifesto beliau  sekiranya diberi kepercayaan oleh para perwakilan nanti pada asasnya menekankan satu perancangan strategik pembangunan bola sepak Sabah.

Beliau juga berkata, sekiranya terpilih antara matlamat utama beliau adalah untuk menghidupkan semula liga bola sepak di enam zon Safa serta mencari lebih banyak bakat bola sepak dari kawasan luar bandar.

“Sekian lama banyak bakat-bakat terutama di kawasan luar bandar tidak dapat dicungkil mungkin kerana kurangnya aktiviti Safa di sana,” katanya.

Menafikan beliau berpihak dengan mana-mana kumpulan, Hamid berharap para perwakilan nanti akan memilih calon yang mereka mahu memimpin Safa dengan kematangan.

“Jangan kerana dia adalah kawan maka kita undi tetapi mereka perlu mempertimbangkan jikalau seseorang itu benar-benar dapat memberikan sepenuh masa untuk persatuan dan ada rancangan baik untuk mencari dan mengumpul dana untuk Safa,” katanya.

Ditanya tentang kedua calon presiden yang bertanding, Hamid berkata kedua-dua mereka mempunyai potensi namun apa yang penting katanya, sejajar dengan nasihat Ketua Menteri, pilihan terbaik adalah orang yang dapat meluangkan sepenuh masa untuk memikul tanggungjawab itu.

Beliau juga berharap selepas pemilihan nanti semua calon yang menang dan kalah, akan dapat merapatkan barisan dan bekerjasama demi kepentingan Safa.

Dilaporkan dua calon yang bertanding untuk jawatan tertinggi Safa pada Sabtu ini adalah bekas Naib Presiden, Datuk Yusoff Kassim yang kini menjalankan tugas sebagai pemangku presiden dan bekas setiausaha agung, Datuk Alijus Sipil.

Sementara Hamid akan terlibat dalam pertandingan empat penjuru dengan Datuk Abdul Rahman Zakaria, Datuk James Wong dan Fredoline Penggo untuk merebut dua jawatan timbalan presiden.

Jawatan presiden kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Musa Aman pada Mei manakala dua jawatan timbalan presiden itu kosong selepas Datuk Lawrence Gimbang meletak jawatan dan kematian Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan . -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan