Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Halimey dari Pakatan Harapan menang di Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi

Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) dijulang selepas memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia hari ini. Gambar Bernama

PETALING JAYA, 8 Sept (Bernama) – Calon anak tempatan Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia apabila menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027 undi.

Halimey, 46, yang merupakan bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh 13,725 undi manakala Dr Halimah, 58, yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor mendapat 9,698 undi.

Halimey bagaimanapun memperoleh majoriti lebih rendah berbanding majoriti undi 19,372 yang dimenangi bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain pada pukul 9 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sivik MBPJ di sini.

PRK DUN Seri Setia diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong dan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Shaharuddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi apabila menewaskan calon BN Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S. Vignes (217).

Mohd Azizi ketika pengumumannya berkata peratusan keluar mengundi pada hari ini adalah 44.1 peratus dan jumlah kertas undi yang ditolak adalah 164.

“Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi bahagian pilihan raya N32 Seri Setia,” katanya.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi hari ini adalah 23,423 orang daripada 53,492 pengundi berdaftar dalam kawasan DUN Sungai Kandis.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan