Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hala tuju pembangunan negeri Sabah pada landasan betul

Musa (kanan, duduk) dan Chamil (kiri) bersama rombongan peserta kursus media Malaysian Press Institute (MPI) ke atas beliau di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. - foto Ille Tugimin
Musa (kanan, duduk) dan Chamil (kiri) bersama rombongan peserta kursus media Malaysian Press Institute (MPI) ke atas beliau di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, Kota Kinabalu. – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Sabah berada pada landasan yang terbaik dari segi pembangunan, keharmonian dan kestabilan politik, sekaligus membolehkan fokus terhadap agenda pembangunan untuk rakyat dilaksana dan ditambahbaik dari masa ke semasa.

Antaranya, hala tuju negeri dalam bidang pelancongan, pertanian dan pembuatan selain projek Pembangunan Koridor Sabah (SDC) di seluruh negeri yang turut merangkumi pembasmian kemiskinan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, walaupun berdepan cabaran ekonomi global tidak menentu masa kini ekoran penurunan harga minyak dunia, namun kerajaan Pusat meneruskan program pembangunan dan transformasi untuk rakyat.

“Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dan sudah tentu memerlukan kos yang besar. Justeru, keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat kita alu-alukan kerana menyedari Sabah memerlukan infrastruktur yang masih kurang.

“Maka itulah beliau tidak jemu memberi peruntukan besar kepada Sabah memandangkan peruntukan yang diperlukan oleh rakyat Sabah. Kita juga bersyukur kerana projek Pan Borneo tidak ditangguhkan kerana Perdana Menteri menyedari ia penting kepada Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita sempena kunjungan hormat rombongan peserta kursus media Malaysian Press Institute (MPI) ke atas beliau di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, Kota Kinabalu di sini hari ini.

Rombongan MPI seramai 23 wartawan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung diketuai Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Chamil Wariya. Dalam majlis itu juga, Musa turut menyumbangkan RM30,000 kepada MPI bagi melaksanakan aktiviti persatuan itu.

Menjawab soalan pemberita mengenai kejayaan kepimpinan negeri dalam mengekalkan perpaduan di Sabah, Musa menjelaskan isu-isu berkaitan agama dan kaum tidak pernah timbul di negeri ini.

“Selama ini, kami hidup dalam keadaan aman, damai dan penuh muhibbah. Boleh saya umpamakan kami di Sabah ibarat saudara dalam sebuah keluarga yang besar dan unik kerana berlainan agama, suku dan budaya tetapi dapat meraikan apa juga perayaan agama masing-masing,” ujarnya.

Mengulas mengenai dasar perhutanan negeri, Musa memberitahu kerajaan giat melaksanakan usaha konservasi hutan dan pemuliharaan alam semulajadi dengan menghentikan aktiviti pembalakan serta menggiatkan usaha penanaman semula hutan termasuk memperkenalkan program Hutan Simpan Malua dan Kalumpang di kawasan lebih 200,000 hektar.

Musa (tengah) bersama rombongan peserta kursus media Malaysian Press Institute (MPI) ke atas beliau di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, Kota Kinabalu.
Musa (tengah) bersama rombongan peserta kursus media Malaysian Press Institute (MPI) ke atas beliau di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, Kota Kinabalu.

Menurutnya, usaha itu mendapat pengiktirafan di peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Berhubung desakan beberapa pihak terutama pembangkang dalam isu royalti minyak 20 peratus, beliau menegaskan semua pihak perlu bersikap realistik dalam hal ini memandangkan kos pengendalian dan operasi terutama di laut dalam memerlukan perbelanjaan tinggi yang terpaksa ditanggung oleh Petronas.

“Bagi kerajaan negeri, daripada terus mendesak kenaikan royalti tersebut adalah lebih baik kita menjadi rakan kongsi perniagaan dalam projek pembangunan minyak dan gas yang dijalankan oleh Petronas di negeri ini.

“Dengan cara ini, kita boleh mewujudkan situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak. Sekarang kita melaksana pelaburan dalam Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT), Sabah Ammonia and Urea (SAMUR) dan Loji Janakuasa Kimanis,” jelasnya.

Beliau berkata, hasil pendekatan proaktif kerajaan negeri juga membolehkan Sabah berjaya mendapatkan persetujuan Petronas untuk memiliki 10 peratus peratus pegangan saham dalam LNG 9 di Bintulu, Sarawak.  – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan