Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Hakikat Kebahagiaan Yang Membawa ke Syurga-Nya

Gambar Hiasan

 

Kebahagiaan itu tidak datang dengan begitu sahaja. Tidak bertamu dengan bersahaja. Kebahagiaan juga bukan berbentuk materialistik yang dapat dipegang dan dirasai dengan sentuhan. Bukan juga bersifat realistik yang menunjukkan keadaan yang sebenar.

Ramai yang bahagia, tetapi derita jiwanya. Ramai yang derita, tetapi bahagia dalamannya. Ada juga yang bahagia dari kedua-duanya serta memantul kepada yang lain seperti pantulan cahaya ke cermin yang apabila dipancarkan ke cermin, akan memantul ke arah lain.

Kebahagiaan itu datangnya dari hati. Lazimnya, bahagia itu disama-ertikan dengan perasaan gembira. Umumnya, kegembiraan itu akan datang apabila mendapat sesuatu yang disukai dan dihajati. Ada yang bahagia apabila mendapat makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Ada juga yang bahagia apabila mendapat kejayaan dalam peperiksaan.

Ya, semestinya akan bahagia kerana itu keperluan dan kehendak bagi manusia.

Tetapi, itu tidaklah menjamin sepenuhnya membawa ke akhirat. Kebahagiaan yang sebenar itu adalah yang membawa kita ke akhirat iaitu syurga Allah. Hendaklah kita mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia.

Bagaimana?

Firman Allah s.w.t dalam kitab-Nya:

الذين آمنوا وعملوا الصالحات طوبى لهم وحسن مآب

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-bainya.”

(ar-Ra’d : 29)

Allah telah berkata dalam al-Quran bahawa orang yang beriman dan mengerjakan amal kebaikan akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat sekaligus. Perkataan ‘Thuba’ itu beerti kebaikan dan kebahagiaan yang amat besar dan ‘husnu ma’ab’ itu beerti tempat kembali yang baik selepas mereka kembali kepada-Nya.

Orang yang tidak beriman, mungkin luarannya bahagia, tetapi jiwa mereka kosong. Adapun mereka menuntut mu’jizat dan kejadian-kejadian luar biasa, namun tidak merasa ketenteraman iman, tetaplah mereka berada dalam kegelisahan. Maka, beruntunglah mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Jika keperluan dan kehendak kita seperti yang dinyatakan di atas itu diniatkan dengan amal soleh, maka bahagia itu ada padanya dan membawa berkah dunia dan akhirat.

Oleh itu, lakukanlah setiap perkara dengan niat kerana Allah yang akan membawa kepada amal soleh. Ketenteraman jiwa dan kesenangan hati akan diperolehi jika kita hubungkan segalanya dengan Allah. Seperti yang dinyatakan pada ayat sebelum ayat yang dinyatakan di atas :

الذين آمنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله .ألا بذكر الله تطمئن القلوب

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan zikrullah (mengingati Allah) itu , tenang tenteramlah hati mereka.”

(ar-Ra’d : 28)

Mereka merasa tenteram kerana hubungan mereka yang rapat dengan Allah, merasa mesra berada disamping-Nya dan merasa aman berada di bawah perlindungan-Nya. Mereka juga bersikap redha dengan ujian dan menerima segala yang ditentukan kepada mereka serta bersabar dalam menghadapinya.

Ketenteraman yang wujud di dalam hati orang beriman itu merupakan hakikat yang sangat mendalam dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata melainkan merasainya.

Orang-orang yang kembali atau bertaubat kepada Allah dan yang menikmati ketenteraman dan ketenangan kerana mengingati Allah dalam setiap amalnya, akan mendapat tempat kembali yang baik di sisi Allah s.w.t.

Marilah sama-sama kita menikmati kebahagiaan dengan ketenteraman dan kesenangan hati yang membawa kepada tempat kembali yang sebaiknya iaitu syurga Allah dengan melakukan amal soleh kerana Allah.

(Sumber: LangitIlahi.com oleh Fatimah Al-Bukhary)

Komen


Berita Berkaitan