Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Guru Yang Bertugas Di Kawasan Perintah Berkurung Diminta Patuhi Arahan – Jame Alip

guru esscom

SEMPORNA– Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip meminta agar guru yang bertugas di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) supaya mematuhi arahan perintah berkurung yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata para guru berkenaan juga perlu berhati-hati dan tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai atau laut semasa arahan perintah berkurung itu, bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.

“Saya minta mereka patuhi arahan itu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kita perlu akur dan jangan sesekali melakukan sebarang aktiviti seperti memancing di laut pada waktu malam,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul, dekat sini, Isnin.

Sabtu lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tanjung Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau.

Kawasan perintah berkurung itu bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi.

Mengulas mengenai lawatan itu, Jame berkata ianya bertujuan untuk memantau dan melihat keadaan guru-guru serta pelajar di sekolah berkenaan.

“Tujuan kami datang ke sekolah ini juga ialah untuk memberi semangat kepada guru-guru yang mengajar di sini supaya mereka sentiasa mempunyai semangat tinggi untuk mendidik. Saya juga berharap insiden yang berlaku di pulau ini seminggu lepas tidak mematahkan semangat mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau bercadang agar pihak kementerian mengkaji elaun pedalaman di Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul yang kini dikategorikan sebagai pedalaman dua (P2).

“Keadaan di sini sangat berisiko kerana guru-guru sentiasa berhadapan dengan bahaya seperti keadaan ombak laut yang tidak menentu serta keadaan keselamatan terutamanya kes yang melibatkan jenayah rentas sempadan. Oleh itu saya cadangkan agar Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul dikategorikan sebagai pedalaman tiga (P3).

“Ianya bukan sahaja boleh menarik minat mereka (guru) untuk mengajar di sini, tetapi ia juga sangat penting untuk memastikan kebajikan guru berkenaan sentiasa terjamin,” katanya.

Guru-guru yang bertugas di sekolah yang dikategorikan sebagai kawasan P3 diberi elaun tambahan sebanyak RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 pula sebanyak RM500.

Komen


Berita Berkaitan