Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

GST bukan faktor kenaikan harga rumah

 

Hajiji Mohd Noor (kanan) mendengar penerangan daripada seorang juruukur semasa melawat pameran RISM. - foto Ille Tugimin
Hajiji Mohd Noor (kanan) mendengar penerangan daripada seorang juruukur semasa melawat pameran RISM. – foto Ille Tugimin

KOTA KINABALU – Adalah tidak adil jika pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dijadikan faktor utama kebimbangan orang ramai terhadap  peningkatan harga pasaran perumahan di negeri,  sebaik sahaja ia dikuatkuasakan pada 1 April depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd. Noor berkata, ini kerana masih awal membuat penilaian mengenai kesan GST sedangkan sistem percukaian tersebut belum lagi dilaksanakan.

“Kita tengoklah, kalau sekarang saya cakap ia (harga pasaran perumahan) akan naik lagi… tidak juga adil, kita tengok keadaan kerana GST akan dikuatkuasakan pada 1 April ini. Justeru, kita akan memantau situasi itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Juruukur Antarabangsa Sabah 2015, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sama ada pelaksanaan GST yang akan bermula kira-kira dua minggu lagi, bakal mempengaruhi harga pasaran rumah di Sabah ke paras lebih tinggi.

Hajiji berkata, kerajaan menerusi kementeriannya akan mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan pasaran perumahan di negeri ini dapat dikawal dan polisi perumahan yang bakal dikaji semula selaras dengan pelaksanaan GST.

Menurut beliau, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, faktor sekeliling akan diambil kira dalam menentukan sesuatu dasar atau polisi itu kerana kebanyakan harga barang ditentukan oleh pasaran terbuka.

Ditanya mengenai kajian oleh Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Sabah berkaitan punca kenaikan harga rumah di negeri ini yang melambung tinggi dalam tempoh beberapa tahun ini, Hajiji memberitahu kementerian akan mengkaji dapatan penyelidikan oleh RISM yang dibuat selama enam bulan itu.

Walau bagaimanaun, beliau menjelaskan kementerian itu belum boleh mengumumkan dapatan tersebut kerana ia memerlukan satu lagi kajian dan penyelidikan terperinci oleh RISM manakala hasilnya nanti akan dimaklumkan kepada kerajaan.

“Terpulang kepada kerajaan apakah hala tuju dan dasar yang akan dilaksana kerana kita tahu sekarang ini harga rumah begitu melambung tinggi terutama sekali di bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu.

“Faktor itu menjadi kebimbangan kepada orang ramai terutama rakyat yang berada dalam kategori kumpulan pendapatan sederhana. Oleh itu, kerajaan memberi perhatian khusus terhadap perkara ini dan kita kena cari jalan bagaimana kita boleh membantu golongan ini dan mengekang kenaikan harga melambung tinggi,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan