Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

GST akan dimansuh seperti dijanjikan – Guan Eng

LIM Guan Eng pada sidang media di pejabat Khazanah Nasional Bhd, Georgetown, hari ini. – Foto Ramdzan Masiam

 

GEORGETOWN: Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan, menafikan Kementerian Kewangan mengeluarkan surat pekeliling berhubung penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kononnya berkuat kuasa 1 Jun ini.

Guan Eng berkata, surat pekeliling yang mula tersebar secara meluas sejak semalam itu adalah palsu dan tiada mana-mana pihak di Kementerian Kewangan mengeluarkan surat berkenaan.

“Saya belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan lagi. Justeru, saya tidak mempunyai kuasa melaksanakan apa-apa perkara dalam Kementerian Kewangan.

“Individu yang mempunyai kuasa mutlak sekarang ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bagaimanapun, saya sudah memeriksa dengan kementerian dan Dr Mahathir, mereka tidak mengeluarkan pekeliling berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabat Khazanah Nasional Bhd, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya akan memansuhkan pelaksanaan GST dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan sebelum ini.

“Kami akan melakukannya dalam masa 100 hari selepas berkuasa seperti dijanjikan. Ketika ini, saya belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan dan tidak boleh mengulas mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan PH tetap komited memansuhkan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang berkenaan hanya dibuat untuk melindungi skandal dan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya yakin kedudukan kita tetap sama, iaitu untuk menghapuskan akta itu,” katanya.

Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan Parlimen bulan lalu dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara enam tahun serta denda RM500,000. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan