Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

GPPS bersatu dengan Pemuda BN dalam perjuangan

Exco Pemuda UPKO, Carl Mossom
Exco Pemuda UPKO, Carl Mossom

KOTA KINABALU – Gabungan Pergerakan Pemuda Sabah (GPPS) yang diangotai oleh Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Pasok Momugun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) terkilan apabila dikaitkan dengan konflik di antara Ahli Parlimen Sepanggar dengan kepimpinan UMNO Sabah.

Ini kerana, menurut GPPS, pihaknya ingin bersatu dengan Pemuda Barisan Nasional (BN) terutama dalam fokus memperkukuhkan perjuangan belia negeri itu.

Jurucakap GPPS yang juga Exco Pemuda UPKO, Carl Mossom menjelaskan bahawa gabungan itu tidak pernah berhasrat mencampuri urusan mana-mana parti komponen BN yang lain.

Oleh sebab itu, Carl menggesa agar Ahli Parlimen Sepanggar tersebut menamakan secara jelas individu atau pihak-pihak yang dimaksudkan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Tidak timbul soal seperti isu yang dicanangkan oleh Datuk Jumat Idris memandangkan Pemuda BN Sabah sentiasa dalam keadaan yang bersatupadu dan kesefahaman dalam menangani sesuatu isu dan sudah tentu tidak ingin mencampuri urusan yang tidak relevan dengan halatuju dan perjuangan Pemuda negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan, GPPS sentiasa konsisten dalam memperjuangkan hak negeri, memastikan kesinambungan pentadbiran BN, meningkatkan penglibatan Pemuda dalam politik serta memanfaatkan kerjasama jitu dengan rakan dalam komponen parti, seperti yang terkandung dalam memorandum GPPS.

Sementara itu, Setiausaha Exco Pemuda PBRS, Edwin Laimin turut membidas kenyataan liar Jumat yang seolah-olah kehabisan modal mempertahankan pendirian dan terpaksa mereka-cerita sensasi kononnya mendapat input dan sokongan dari pemuda komponen BN tanpa sumber yang sahih.

Edwin berkata, Pemuda BN negeri tidak pernah menyentuh isu dalaman parti komponen kerana fokus utama perjuangan mereka ialah memastikan kemenangan parti pemerintah itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Keutamaan kita ialah memulihkan keyakinan pengundi khususnya pengundi muda agar kembali memberikan sokongan padu kepada BN dan sudah pasti perancangan kita termasuklah untuk mengekalkan kemenangan kepada siapa sahaja calon yang diletakkan oleh kepimpinan BN di Parlimen Sepanggar,” ujarnya.

Setiausaha Exco Pemuda PBS, Dolsin Merindang pula berkata, Pemuda BN lebih berminat menumpukan sepenuh perhatian terhadap suara akar umbi pemuda berkaitan dengan hak-hak dalam perkara 20 yang terkandung dalan Perjanjian Malaysia 1963.

Ini kerana, katanya ia bukan sahaja selari dengan perjuangan utama GPPS, malah usaha itu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada rakan pemuda komponen yang lain khususnya daripada Pemuda UMNO Sabah.

“Setakat ini hubungan kita dengan semua rakan dalam parti komponen BN amat baik dan kita tidak akan terpengaruh dan terperangkap dengan dakyah dan propaganda yang dimainkan oleh pihak tidak bertabggunggjawab, ” jelasnya. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan