Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

GLC RUGI DITUTUP, K’JAAN NEGERI LAKSANA PENSTRUKTURAN SEMULA

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua kanan) pada sidang media selepas merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2018 di Hyatt Regency, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU:  Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang gagal capai keuntungan akan ditutup manakala langkah penstrukturan semula akan dilaksanakan termasuk penggabungan anak syarikat GLC seperti Yayasan Sabah demi memantapkan fungsi perkhidmatan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beberapa GLC kerajaan negeri yang gagal mencapai keuntungan sedang diperhatikan.

Tanpa mendedahkan nama GLC berkenaan, beliau berkata, kerajaan negeri akan menutup GLC-GLC ini kerana ianya merugikan bagi kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima cenderahati daripada Pengarah Urusan Corporate Street Sdn. Bhd, Aida Lim Abdullah (kiri) selepas merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2018 di Hyatt Regency, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri turut melihat kepada keperluan untuk melaksanakan penggabungan beberapa anak syarikat di bawah Yayasan Sabah (YS) bagi mengelak pembiayaan kewangan berlebihan ke atas syarikat-syarikat tersebut.

“Saya fikir kita perlu menggabungkan beberapa syarikat di bawah Yayasan Sabah agar ia dapat mencapai prestasi yang lebih besar dengan fokus kepada bidang tertentu yang diyakini dapat memberikan pulangan lumayan kepada mereka.

“Oleh itu, kita memutuskan untuk melakukan penstrukturan ke atas beberapa lagi badan berkanun dengan objektif sama iaitu memantapkan perkhidmatan dan pentadbiran mereka,” kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Kepada Pengarah-Pengarah Badan Berkanun Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penggabungan anak syarikat YS, Mohd Shafie berkata, YS perlu ada kejelasan dalam bidang yang mereka terokai untuk menambah pendapatan.

“Mereka (YS) melibatkan diri dalam banyak bidang seperti perhotelan, pelancongan, pembakalan dan cari gali minyak.

“Justeru, kita mahu satu ketetapan dibuat untuk YS agar mereka betul-betul fokus dengan kemampuannya kerana kita tidak mahu berlaku pembaziran daripada segi kewangan kerana perlu membiayai anak syarikat yang kita lihat tidak efektif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, bagi mengelak penglibatan rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan badan berkanun di negeri ini, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memantau aktiviti mereka.

Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan gejala rasuah.

Beliau menegaskan, langkah itu perlu bagi menjaga integriti serta menjadikan badan berkanun negeri ini contoh terbaik dalam menyediakan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan