Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gil Hoon sah sertai Sabah

LEE Gil Hoon. – Foto Ramdzan Masiam

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Pulau Pinang kelahiran Korea Selatan, Lee Gil Hoon kini sah menjadi milik Sabah selepas mengikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), di sini, hari ini.

Pemain yang meledak 24 gol ketika bersama skuad Harimau Kumbang pada 2014, itu menandatangani kontrak selama setahun dengan skuad Badak.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

Gil Hoon menjadi pemain import kedua diikat Sabah sejak jendela perpindahan pemain mula dibuka 15 Mei lalu dengan seorang lagi rakan senegaranya, Heo Jaenyong turut menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan itu, semalam.

Selain pernah beraksi bersama Pulau Pinang, Gil Hoon yang kini berusia 34 tahun, sebelum ini, bermain dengan kelab di Hong Kong, Biu Chun Glory Sky.

Pengendali Sabah, Jelius Ating menyifatkan Gil Hoon sebagai seorang pemain yang agresif dan paling menyerlah di antara pemain import lain yang datang menyertai sesi ujian pemilihan.

Dengan kemasukan Gil Hoon serta Jaenyong, kedudukan seorang lagi pemain import dari Jepun, Masaya Jitzono kian goyah sekali gus kemungkinan bakal disingkirkan daripada pasukan.

Ini kerana Jelius dikatakan masih mencari seorang lagi penyerang import bagi memantapkan pasukannya dan sekiranya ia berlaku, Jitzono sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah.

Dalam perkembangan lain, difahamkan juga pertahanan import Sabah, Igor Cerina bakal diketepikan daripada pasukan berikutan kecederaan ligamen kaki kanan yang agak teruk. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan