Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,675

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Gerila komunis bunuh 3 askar Filipina

8:01pm 15/05/2016 Pak Roshan 2844 views Mutakhir,Nasional
GERILA Tentera Rakyat Baharu (NPA) di lokasi yang tidak diketahui di kawasan pedalaman wilayah Surigao del Sur, di selatan Mindanao. - Foto fail AFP

GERILA Tentera Rakyat Baharu (NPA) di lokasi yang tidak diketahui di kawasan pedalaman wilayah Surigao del Sur, di selatan Mindanao. – Foto fail AFP

MANILA: Gerila komunis membunuh tiga askar Filipina dalam pertempuran maut pertama sejak presiden baharu negara itu menawarkan untuk menyambung semula perjanjian damai yang terhenti.

Tentera terbabit berada di pulau Negros semalam untuk menyiasat laporan gerila Tentera Rakyat Baharu (NPA) memeras ugut wang daripada penduduk kampung apabila bertempur dengan kira-kira 10 pemberontak, menyebabkan tiga askar maut dan dua cedera.

Keganasan itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Rodrigo Duterte berkata, beliau bersikap terbuka untuk menyambung semula rundingan damai bagi menamatkan pemberontakan selama beberapa dekad yang sudah meragut puluhan ribu nyawa.

Selepas kemenangannya pada pilihan raya 9 Mei lalu, jurucakap Duterte berkata ahli politik itu mungkin membebaskan pemberontak komunis dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai.

Bekas Presiden Benigno Aquino menamatkan rundingan dengan Parti Komunis Filipina pada 2013 berhubung tuntutan pemberontak yang mahukan pembebasan tanpa syarat rakan mereka yang enggan dipenuhi kerajaan.

Duterte yang dituduh mengendalikan skuad pembunuh yang didakwa membunuh lebih 1,000 suspek penjenayah di Davao, adalah rakan kepada Jose Maria Sison yang menubuhkan parti komunis pada 1968.

Duterte yang akan mengambil alih jawatan pada 30 Jun ini, sebelum ini menyifatkan dirinya sebagai seorang sosialis.

Komunis sudah membunuh 30,000 orang sejak memulakan pemberontakan hampir setengah abad lalu. Kekuatan pergerakan itu berkurangan kepada tidak sampai 4,000 anggota daripada 26,000 pada lewat 1980-an.

Bagaimanapun, ia masih mendapat sokongan daripada penduduk miskin di pedalaman Filipina. – AFP/BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan