Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Gereja mempunyai peranan membentuk pemuda

10:17pm 05/12/2015 Ann Vivien 113 views Isu Semasa,Tempatan
Radin, Fr. David serta dif-dif jemputan selepas menyala lilin sebagai gimik perasmian Teater Muzikal Krismas pada 4 Disember

Radin, Fr. David serta dif-dif jemputan selepas menyala lilin sebagai gimik perasmian Teater Muzikal Krismas pada 4 Disember

TENOM: Pihak gereja harus terus melaksanakan program-program sosial dan kemasyarakatan, kerohanian serta kepimpinan yang boleh mengembangkan potensi golongan belia khasnya di kawasan luar bandar agar mereka dapat memainkan peranan yang berkesan dalam pembangunan negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh berkata rakyat berbilang kaum terutamanya masyarakat Kristian di negeri ini juga masih bebas untuk mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Malah peruntukan kewangan  kepada badan-badan keagamaan bukan Islam serta sekolah-sekolah mubaligh di negeri Sabah pada setiap tahun juga membuktikan pengiktirafan dan sokongan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan institusi-insitusi bukan Islam dalam pembangunan negeri ini, tegasnya.

Radin yang juga Adun Melalap berkata demikian di majlis perasmian Teater Muzikal Krismas 2015 anjuran Kerasulan Belia Katolik Gereja Santa Maria Diangkat Ke Surga, Melalap, Tenom  pada hari Jumaat lepas.

Teater Muzikal Krismas 2015 itu yang bertemakan “Kelahiran Yesus adalah Tanda Kasih Allah Bapa kepada UmatNya” dirasmikan oleh Rektor Paroki St. Anthony Tenom, Rev. Fr. David Mamat.

Beliau berkata penganjuran Teater Muzikal Krismas yang julung kalinya dianjurkan oleh para belia Gereja Santa Maria Diangkat Ke Surga ini amat baik kerana ia boleh menyemai semangat kekitaan di kalangan umat Kristian serta mengeratkan perhubungan dan kerjasama di kalangan para belia Katolik di daerah ini.

Beliau memuji usaha belia gereja berkenaan menganjurkan teater berkenaan yang dapat mengeratkan kerjasama mereka.

“Memandangkan acara ini boleh menjadi medan mencungkil bakat kepimpinan dan bakat seni di kalangan belia, maka saya berharap acara ini yang boleh membina potensi diri belia diteruskan lagi di masa hadapan, katanya.

Beliau menambah persefahaman yang tinggi di kalangan penduduk Sabah yang berbilang kaum dan agama sentiasa menjadi contoh teladan kepada masyarakat lain di negara ini.

Rakyat harus bekerjasama untuk mengekalkan keharmonian hidup dan kemajuan negeri ini demi kesejahteraan hidup serta kesinambungan pembangunan negeri kita, katanya.

“Saya bersyukur kerana masyarakat berbilang di negeri ini sentiasa saling memahami dan saling menghormati kepercayaan dan kebudayaan masing-masing.

“Saya percaya ramai di antara kita termasuklah saya juga mempunyai sanak-saudara yang menganuti agama lain, namun perbezaan agama itu bukan menjadi penghalang kepada kita untuk sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain,” katanya.

Kerajaan akan meneruskan dasar-dasar yang dapat meningkatkan perpaduan dan penyertaan rakyat berbilang kaum dalam pembangunan negeri ini dan kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana kumpulan pelampau yang boleh menggugat keselamatan, keamanan serta perkara-perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia serta Rukunegara itu, katanya.

Kerajaan sentiasa menyediakan peluang kepada golongan belia di negeri ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang boleh membina kepimpinan dan jati diri mereka, sekaligus mengelakkan diri mereka daripada terpengaruh dan terjerumus dalam aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Turut hadir di majlis itu ialah Rev. Fr. David Mamat, Rektor Paroki St. Anthony Tenom, Simon Mamat, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Melalap, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki St. Anthony Tenom, Matthew Tulas, Pengerusi KUK Gereja Santa Maria Diangkat Ke Surga, Jeffrey Kudot, Puan Jumina Barin, Pengerusi Penganjur Teater Muzikal Krismas 2015, Datin Angelin Tom serta para belia dari gereja Katolik di daerah Tenom.-Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan