Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Geng pecah rumah di kawasan Luyang tumpas

Antara barangan kemas dan surat pajak gadai yang dirampas polis. Manakala gambar kecil menunjukkan kenderaan Perodua Viva yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah pecah rumah. – Foto Stenley Dominic / Sayangsabah
Antara barangan kemas dan surat pajak gadai yang dirampas polis. Manakala gambar kecil menunjukkan kenderaan Perodua Viva yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah pecah rumah. – Foto Stenley Dominic / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Daerah menahan dua lelaki berumur 25 dan 27 tahun, selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes jenayah pecah rumah di sekitar kawasan Luyang membabitkan kerugian berjumlah RM105,000.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, tangkapan tersebut dilakukan berikutan laporan polis yang dibuat oleh seorang pengadu wanita berumur 45 tahun yang mendakwa kerugian RM50,000 selepas rumahnya dipecah masuk pada 14 Julai lepas.

“Menurut laporan tersebut, pengadu yang baru tiba dari tempat kerja terkejut apabila melihat keadaan di dalam rumahnya itu berselerak dan mendapati beberapa barang berharga termasuk barangan kemas, beberapa utas jam tangan berjenama dan wang tunai hilang,” katanya pada media di Ibupejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat awam, sepasukan anggota JSJ menahan seorang suspek lelaki warga asing yang sedang berada di dalam sebuah bas di terminal Wawasan Plaza kira-kira jam 7 malam pada 20 Julai lepas.

Siasatan polis mendapati suspek yang ditahan itu baru sahaja dibebaskan dari penjara pada awal tahun ini kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 dan 448. Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek berumur 27 tahun juga didapati positif dadah.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan berumur 25 tahun di tepi sebuah jalan berhampiran pusat membeli belah One Borneo yang bekerja sebagai pemandu kereta ‘sapu’,” katanya lagi.

Menurutnya, polis turut menjalankan pemeriksaan di rumah kedua-dua suspek terbabit serta beberapa premis pajak gadai dan berjaya menemui semula pelbagai barangan yang disyaki hasil jenayah pecah rumah.

Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan oleh kedua-dua suspek yang digelar sebagai ‘Geng Kaidol’ ketika melakukan jenayah berkenaan.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah lain yang berlaku di Luyang dan Inanam dalam tempoh Mac hingga Julai tahun ini dengan nilai kerugian berjumlah RM55,000,” katanya lagi.

Suspek yang kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan mengakui melakukan jenayah tersebut untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah dan bersuka ria.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa jenayah pecah rumah supaya hadir di Balai Polis Karamunsing bagi membuat pengecaman terhadap barangan masing-masing.

– Oleh Nuzir Andi Samsiar / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan