Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Geng Baju Pengantin tumpas, seorang masih diburu

BAJU PENGANTIN… Chandra (tengah) bersama pegawai kanan polis lain menunjukkan baju pengantin yang dirampas daripada tiga wanita Gang Baju Pengantin yang ditahan di beberapa lokasi berasingan. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah
BAJU PENGANTIN… Chandra (tengah) bersama pegawai kanan polis lain menunjukkan baju pengantin yang dirampas daripada tiga wanita Gang Baju Pengantin yang ditahan di beberapa lokasi berasingan. – foto ALEX MAIRIN / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Tiga sekeluarga berumur antara 20 hingga 49 tahun yang menjadikan kegiatan mencuri sebagai salah satu sumber pendapatan mereka, akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di tiga lokasi berasingan.

Kesemua anggota ‘Geng Pakaian Pengantin’ itu ditahan selepas polis menjalankan siasatan berhubung laporan seorang pemilik butik yang mendakwa beberapa helai pakaian pengantin hilang disyaki dicuri pada jam 2.30 petang 21 Februari lepas di premis yang terletak di Plaza Likas, di sini.

“Pengadu mendakwa beberapa pelanggan yang terdiri tiga wanita dan seorang lelaki telah mengunjungi butiknya sebelum beredar kira-kira sejam kemudian,” kata Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah, Karamunsing di sini hari ini.

Katanya, pengadu yang melakukan pemeriksaan mendapati beberapa helai pakaian pengantin telah hilang mengakibatkan kerugian sebanyak RM1,500.

Namun laporan polis hanya dibuat oleh pengadu lima hari selepas kejadian berlaku.

Menurutnya, pada 27 Februari lepas, polis menangkap dua beranak masing-masing berumur 20 dan 49 tahun di dua lokasi berasingan di Kampung Warisan, Inanam dan Pengalat Besar, Papar.

“Hasil siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek, seorang lagi wanita berumur 30 tahun berjaya ditangkap Taman Sepanggar,” katanya sambil menambah polis turut menemui semula beberapa helai pakaian pengantin dianggarkan bernilai RM7,000 dipercayai dicuri.

Berikutan tertangkapnya ketiga-tiga ahli Geng Baju Pengantin itu, polis sedang giat mengesan seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas dan dipercayai ketua kumpulan terbabit.

“Semua suspek mempunyai talian kekeluargaan dan suspek lelaki yang masih bebas itu adalah suami kepada wanita yang ditahan di Taman Sepanggar,” katanya lagi.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh  kumpulan ini ialah memasukkan barangan dicuri ke dalam poket rahsia pada baju jubah yang dipakai oleh kesemua suspek, sebelum beredar meninggalkan premis berkenaan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan Geng Baju Pengantin itu turut terlibat dengan jenayah curi di Penampang serta beberapa kes kecurian lain di pasaraya dan butik.

“Suspek dipercayai bergiat aktif sejak hujung tahun lepas dan semua hasil curi akan dijual balik untuk mendapatkan wang tunai,” katanya.

Ketiga-tiga wanita tersebut ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
– Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan