Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Generasi muda perlu kuasai ilmu sebagai asas capai kejayaan

KUNAK: Generasi muda perlu mengutamakan penguasaan ilmu sebagai asas mencapai kejayaan dan kecemerlangan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan semasa.

Ketua Wanita UMNO Silam, Mizma Appehdullah berkata kegagalan umat Islam memberi fokus kepada kepentingan ilmu sering menyebabkan mereka tertindas dan sukar bersaing.

Katanya, sikap tidak ambil peduli di kalangan umat Islam, terutama di luar bandar perlu dihapuskan dan diganti dengan sikap positif ke arah kemajuan.

“Hanya mereka yang mementingkan ilmu mampu mengeluarkan diri daripada kemunduran dan sikap itu perlu diamalkan oleh semua,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pada majlis Khatam Al-Quran dan cukur Jambul peringkat Pusat Daerah Mengundi Kunak di Masjid Pekan Kunak, kelmarin.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Sabah.

Mizma berkata, Al-Quran adalah sumber ilmu dan rujukan terbaik bagi umat Islam, dengan syarat kandungannya dikaji, difahami dan dihayati sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kebanyakan umat Islam hari ini tidak meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dalam mencapai kecemerlangan dan kemajuaan. Jika dihayati dan dikaji secara mendalam, al-Quran boleh membantu umat Islam maju dalam pelbagai bidang,” katanya.

Sementara itu, Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang berkata, sejarah membuktikan kecemerlangan dan kemajuan umat Islam masa lalu banyak bergantung kepada ilmu al-Quran.

Pada masa sama, katanya, umat Islam juga perlu menguasai bahasa Inggeris serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkan mereka bersaing pada peringkat antarabangsa.

Katanya, generasi baru yang berjaya adalah hasil didikan dan asuhan daripada beberapa ajaran Islam yang sebenar. Masalah sosial yang melanda di negara pada masa kini adalah disebabkan kekurangan pengetahuan ilmu agama dan penerapan nilai-nilai murni di kalangan remaja.

“Kurangnya pendidikan dan penerapan pembangunan model insan yang kukuh dalam sahsiah diri anak-anak muda masa kini, salah satu faktor ramai kalangan remaja terjebak dalam gejala sosial. Tiada pedoman yang lebih baik melainkan mempelajari kitab suci Al-Quran, kerana didalamnya terdapat rahsia-rahsia segala bentuk ilmu pengetahuan jika kita mempelajarinya,” kata Nilwan lagi./SayangSabah

Kenangan…Mizma dan Nilwan bergambar dengan peserta yang menyertai majlis Khatam Al-Quran dan cukur Jambul peringkat Pusat Daerah Mengundi Kunak di Masjid Pekan Kunak, kelmarin.

Komen


Berita Berkaitan