Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Generasi muda perlu hayati erti kemerdekaan: Samsudin

12:10pm 01/09/2016 Elezebeth Esther Onjining 21 views Sandakan,Tempatan
Samsudin meletakkan bendera Malaysia bersama-sama dengan pegawai dan Institusi Penjara Sandakan di Sandakan,

Samsudin meletakkan bendera Malaysia bersama-sama dengan pegawai dan Institusi Penjara Sandakan di Sandakan,

SANDAKAN- Orang ramai khususnya generasi muda diingatkan agar menterjemahkan erti kemerdekaan dalam aspek yang lebih luas disamping menepati hala tuju negara.

Menurut Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya, kemerdekaan bukan sahaja bermakna pentadbiran negara bebas dari jajahan orang asing tetapi setiap individu perlu bebas dari budaya dan atau apa sahaja bentuk pemikiran barat yang negatif.

“Melalui penghayatan erti kemerdekaan, ia perlu diperbetulkan supaya golongan muda bebas dari belenggu penjajahan berbentuk pemikiran dan bukan sekadar pentadbiran sahaja. Mereka (golongan muda) harus membangun dan merancang masa negara supaya dapat menyumbang tenaga dan fikiran untuk meningkatkan sosio ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Bersama Masyarakat Pegawai dan Institusi Penjara Sandakan di Sandakan baru-baru lalu.

Dalam majlis itu, Samsudin yang juga Ketua UMNO bahagian Batu Sapi juga mengingatkan golongan generasi Y supaya menghayati jasa tokoh-tokoh pejuang di Sabah yang pernah mempertahankan negeri ini dari dirampas penjajah.

“Generasi Y perlu mengetahui sejarah perjuangan nasionalis terdahulu, golongan generasi sekarang perlu mengetahui tentang sejarah pejuang itu yang tidak pernah tunduk kepada penjajah sekali gus menjiwai semangatnya dalam membela bangsa dan negara.

Tambahnya, semangat itu perlu diterjemahkan pada hari ini tetapi ia perlu disesuaikan dengan situasi dan keadaan semasa.

Melalui majlis sambutan hari kemerdekaan yang diadakan setiap tahun, beliau berkata, secara tidak langsung generasi Y akan memperolehi maklumat tentang sejarah pejuang kemerdekaan.

“Mereka akan memperolehi lebih banyak maklumat tentang pejuang-pejuang atau nasionalis negara ini yang telah berjuang untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan,” ujarnya.

Jelas beliau sejarah bukan sekadar cerita atau kisah silam yang tiada pengisian, sebaliknya melalui sejarah banyak iktibar serta manfaat yang dapat diambil serta dipelajari.

“Sejarah adalah asas pembentukan manusia hari ini. Sekiranya ia dilupakan, generasi akan datang akan mengulangi kesilapan yang pernah berlaku dalam perjuangan generasi terdahulu,” katanya.-SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan