Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Generasi Muda Perlu Berani Ceburi Bidang Perniagaan

hamisa

TAWAU – Generasi muda perlu berani meneroka peluang perniagaan yang jarang diceburi usahawan lain, sekali gus membuktikan kebolehan dan keupayaan mencipta kejayaan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat.

Katanya tanpa keberanian serta keinginan untuk mencipta kejayaan, generasi muda akan terus berada di bawah, dan tidak mampu bersaing dengan peniaga yang telah mencipta nama dalam bidang perniagaan.

“Generasi muda perlu mengubah persepsi masyarakat yang sering melabel mereka sebagai golongan yang suka membuang masa dan melakukan perkara sia-sia. Jadi generasi muda perlu lebih berani mencari peluang dalam bidang perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kedai pengedar kenderaan di sini hari ini.

Hamisa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu, turut berharap generasi muda tidak terlalu berharap kepada bantuan daripada kerajaan semata-mata.

“Kita perlu berusaha untuk mencari ruang sendiri dan berupaya untuk menyalurkan bantuan atau sumbangan pula kepada rakan-rakan lain,” katanya.

Mengenai majlis itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pemilik syarikat berkenaan yang berani menyahut seruan untuk menjadi usahawan muda bumiputera berjaya.

“Pemilik syarikat ini baru berusia 24 tahun. Namun beliau telah berjaya membuka satu syarikat besar. Oleh itu saya harapkan lebih ramai lagi golongan muda yang boleh berjaya seperti beliau,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan