Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Gelagat Tertuduh Pada Perbicaraan Pencerobohan Lahad Datu Menggelikan Hati Hadirin

6:57pm 18/12/2015 Pak Roshan 1953 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA KINABALU : Seorang pegawai polis sekadar tersenyum dan menampar mesra lengan seorang tertuduh apabila beliau diminta membuat pengecaman terhadap seorang individu pada perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat.

Ketika Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perisikan Operasi) Johor ACP Shahrul Lalli Masduki menuju ke kandang untuk mengecam Tani Lahaddahi, tertuduh segera berdiri.

Pegawai polis berkenaan, yang merupakan saksi ke-61 dalam perbicaran kes tersebut dan mereka yang hadir di kamar mahkamah, berasa lucu dengan reaksi Tani itu, yang tidak memerlukan saksi bersusah payah memeriksa mereka yang berada di dalam kandang tertuduh untuk membuat pengecaman.

Tani juga membalas senyuman saksi itu, yang memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari 2013.

Shahrul Lalli berkata beliau dapat mengecam Tani berpandukan sekeping gambar tertuduh yang dirampas berikutan pertempuran di Kampung Simunul, Semporna, pada 2 Mac 2013.

Beliau memberitahu mahkamah gambar yang kelihatan seperti majlis penyampaian sijil itu, dijumpai di sebuah rumah di Kampung Simunul ketika pemeriksaan dilakukan di tempat berlaku jenayah pada 9 Mac 2013.

Turut dijumpai bersama gambar itu ialah sekeping sijil daripada kesultanan Sulu, katanya.

“Saya mengarahkan Insp Mohd Hafiz Abdul Rahman membuat laporan polis mengenai sijil dan gambar itu pada 10 Mac 2013, 12.44 pagi.

“Laporan polis itu lewat dibuat iaitu setelah saya meneliti sijil dan gambar berkenaan serta mendapati ia mempunyai kaitan dengan para penceroboh yang sedang dijejaki,” katanya.

Shahrul Lalli berkata dalam operasi tiga jam untuk membuat pemeriksaan dan siasatan di tempat kejadian jenayah di Kampung Simunul mulai 10 pagi pada 9 Mac 2013, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah menjumpai pakaian penyamaran, pakaian mengandungi tulisan jawi, sekeping kad kesultanan Sulu, gambar dan sijil.

Katanya pasukan forensik polis juga menjumpai kelongsong peluru, kesan darah, kesan tembakan dan kesan terbakar.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga beberapa tuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga didakwa merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 21 Dis.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan