Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Garis Panduan Yuran IPTS Akan Diperkemas – Kamalanathan

ipts

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memperkemaskan garis panduan bagi menentukan yuran pengajian Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah berpatutan dan sepadan dengan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata langkah itu akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran di IPTS mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kepelbagaian program pengajian, kehadiran IPTS yang pelbagai dan yuran pengajian yang berpatutan akan memberi peluang yang cukup luas kepada pelajar untuk memilih IPTS yang bersesuaian mengikut kecenderungan bidang pengajian dan kemampuan kewangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2014 pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rang Undang-undang itu bertujuan untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Kamalanathan berkata kementerian sentiasa memantau pengoperasian IPTS khususnya dalam kualiti perkhidmatan dan pengajian yang ditawarkan.

Ia termasuk pemantauan terhadap kemasukan pelajar asing untuk belajar di IPTS dan pengambilan pensyarah asing untuk berkhidmat di IPTS.

“Pelajar antarabangsa yang memohon pas untuk masuk belajar ke negara ini akan disaring melalui dua peringkat iaitu sebelum memasuki negara dan selepas memasuki negara.

“Ia termasuk kelulusan visa dan saringan akademik oleh Education Malaysia Global Services (EMGS), saringan keselamatan oleh polis dan saringan imigresen oleh Jabatan Imigresen, dan selepas memasuki negara kelulusan saringan kesihatan dan biro sekuriti oleh EMGS,” katanya.

Bagi pengambilan pensyarah asing berkhidmat di IPTS beliau berkata ia juga perlu melalui proses saringan yang ketat daripada kementerian sebelum pas dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Mengenai kelayakan minimum pelajar perubatan ke Institusi Pengajian Tinggi di negara ini, Kamalanathan berkata ia juga akan diperketatkan bagi memastikan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan benar-benar layak dan memenuhi kriteria.

“Syarat minimum kita akan melihat pada keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) terbaik sebagai contohnya 4.0, kedua kita lihat markah ko-kurikulum iaitu sepuluh peratus, ketiga akan lihat pada keputusan peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

“Bagaimanapun jika jumlah pelajar yang mahu menyertai bidang perubatan masih ramai kita juga melihat pada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dalam mata pelajaran Sains, bagaimana pencapaian mereka pada masa itu sebelum mereka akan dipanggil temuduga,” katanya.

Kamalanathan berkata kementerian memberi peluang seadilnya kepada pelajar yang layak dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati ada IPT yang mengambil pelajar yang tidak menepati kriteria untuk menyertai bidang berkenaan.

Persidangan dewan bersambung esok.

Komen


Berita Berkaitan