Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gara-gara tinggalkan rumah, peniaga rugi RM45,000

Peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah yang dirampas daripada suspek terbabit. - Foto Stenley Dominic / Sayangsabah
Peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah yang dirampas daripada suspek terbabit. – Foto Stenley Dominic / Sayangsabah

KOTA KINABALU – Tindakan seorang peniaga yang meninggalkan rumah untuk balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tanpa memaklumkan kepada pihak polis, telah menyebabkan kerugian RM45,000 apabila rumahnya dipecah masuk oleh pencuri.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, kejadian itu hanya disedari selepas mangsa kembali semula ke rumahnya yang terletak di Jalan Pasir, Likas empat hari kemudian, namun laporan polis hanya dibuat pada keesokan harinya.

“Siasatan awal polis mendapati pengadu tidak memaklumkan kepada pihak polis untuk membuat rondaan pemantauan ketika meninggalkan rumahnya untuk balik ke kampung pada 18 Julai lepas,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah dua komputer laptop, sebuah iPad, dua telefon bimbit, sebuah kamera, barangan kemas dan sejumlah wang tunai.

Chandra berkata, hasil maklumat awam, polis kemudian menyerbu sebuah unit apartment di Api Api Centre dan menahan tiga suspek lelaki, kira-kira jam 7.30 malam, hari yang sama laporan polis dibuat oleh pengadu terbabit.

“Pemeriksaan polis mendapati dua suspek berumur 23 dan 33 tahun tersebut pernah memiliki rekod kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 6(a) dan 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya,” katanya lagi.

Manakala seorang lagi suspek berumur 27 tahun mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyembunyikan barang curi serta Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata, serbuaan itu menyaksikan pelbagai peralatan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah dirampas daripada ketiga-tiga suspek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM4,000.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek yang digelar sebagai ‘Geng Saizull’ itu turut terlibat dengan satu kes pecah rumah lain yang juga berlaku di Likas pada 12 Jun lepas,” katanya lagi.

Kesemua suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

– Oleh Nuzir Andi Samsiar / Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan