Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gara-gara ‘pampers’ isteri dipukul di khalayak ramai

Rentetan video mengenai pergaduhan suami isteri yang tersebar di laman sosial internet sejak semalam.
Gambar dalam video pergaduhan suami isteri yang tersebar di laman sosial internet sejak semalam.

KOTA KINABALU – Seorang isteri membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan akibat dipukul oleh suaminya di khalayak ramai dalam kejadian berlaku kira-kira jam 9.00 pagi di Sinsuran di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra yang mengesahkan menerima laporan daripada pengadu berkata, siasatan polis mendapati pertengkaran tersebut pada mulanya berlaku di dalam bilik sewa sebelum berlarutan sehingga ke jalanraya di kawasan berkenaan.

“Pertengkaran itu pada mulanya tercetus apabila wanita itu meminta wang untuk membeli lampin pakai buang untuk bayi mereka yang berumur 10 bulan, namun permintaan itu tidak dilayan oleh suaminya,” katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, lelaki itu kemudian keluar untuk mengikut kawannya yang menunggu di dalam sebuah kenderaan mengakibatkan pengadu tidak berpuas hati lalu mengejar suaminya sambil membawa sebilah pisau untuk mempertahankan diri sekiranya dipukul oleh suaminya yang panas baran.

“Pengadu yang berumur 16 tahun kemudian meminta suaminya keluar dari kenderaan untuk berbincang mengenai hal rumahtangga mereka selain mengajak ke Jabatan Agama Islam, namun permintaan itu ditolak oleh lelaki terbabit,” katanya lagi.

Melihat permintaanya tidak dilayan, pengadu kemudian menunjukkan sebilah pisau untuk tujuan menakutkan suaminya, bagaimanapun tindakannya itu menyebabkan lelaki terbabit keluar dari kenderaan sebelum berlaku bergelutan.

“Selepas berjaya merampas pisau berkenaan, lelaki itu kemudian bertindak menampar dan menendang isterinya sehingga terjatuh sebelum meninggalkan kawasan kejadian dengan menaiki kenderaan kawannya itu,” tambah beliau.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Karamunsing sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecederaan luka di tapak tangan dan calar di bahagian leher.

Pada kira-kira jam 8.00 malam hari yang sama, polis berjaya menahan suspek berumur 20 tahun itu Lorong 2 Sinsuran yang kemudian direman untuk siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

“Siasatan lanjut polis mendapati, krisis rumahtangga suami isteri itu telah lama berlaku disebabkan suspek sering mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga ayah kepada seorang anak lelaki,” katanya lagi.

– Oleh Nuzir Andi Samsiar / sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan