Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gangguan Pengeluaran MyKad Di 43 Cawangan JPN

jpn

PUTRAJAYA – Pengeluaran MyKad di 43 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bakal mengalami gangguan berikutan kerja-kerja menaik taraf Sistem Kad Pengenalan di cawangan terbabit.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling, dalam satu kenyataan hari ini, berkata gangguan itu akan mengakibatkan perubahan dalam tempoh pengeluaran MyKad siap daripada 24 jam kepada 10 hari bekerja.

Beliau berkata, kerja menaik taraf itu melibatkan 43 cawangan JPN yang mempunyai mesin Cetakan Teragih MyKad di seluruh negara mulai esok hingga 25 Januari ini.

Cetakan Teragih MyKad adalah satu daripada inisiatif JPN yang membolehkan MyKad disiapkan dalam tempoh 24 jam.

“Penyelenggaraan sistem ini adalah satu keperluan untuk meningkatkan lagi kualiti capaian terhadap sistem urus niaga utama JPN yang beroperasi hampir 24 jam sehari,” katanya.

Antara 43 cawangan JPN yang mengalami gangguan tempoh pengeluaran MyKad ialah JPN Perlis, Alor Setar, UTC Kedah, Kulim, Pulau Pinang, Ipoh, UTC Perak, Bagan Datoh dan Sri Manjong.

Sulaiman berkata, turut mengalami gangguan itu ialah cawangan JPN di Selangor iaitu Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya. Di Kuala Lumpur, cawangan JPN yang terlibat ialah Wilayah Persekutuan, UTC Kuala Lumpur, UTC Keramat dan UTC Mini Sentul.

Di Melaka dan Negeri Sembilan, cawangan JPN yang terlibat ialah JPN Melaka dan UTC Melaka serta JPN Seremban.

Di Johor, JPN Johor Baharu, Kluang dan Batu Pahat akan mengalami gangguan tempoh pengeluaran MyKad selain UTC Johor Baharu. Di Pahang tiga cawangan JPN akan mengalami gangguan berkenaan selain UTC Pahang.

Tiga cawangan JPN di Terengganu dan tiga lagi cawangan JPN di Kelantan akan terlibat dengan gangguan tempoh pengeluaran MyKad tersebut.

Di Sarawak, empat cawangan JPN iaitu di Kuching, Miri, Sibu dan Sri Aman akan mengalami gangguan tempoh pengeluaran MyKad selain UTC Kuching. Sementara di Sabah empat cawangan JPN akan mengalami gangguan berkenaan, turut terlibat ialah UTC Kota Kinabalu.

Sulaiman berkata, untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkara berkenaan orang ramai boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03-88807077/7067/7069/8555 atau emel ke [email protected] – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan