Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gambaran Punca Lebih Jelas, Malaysia Komited Cari Kebenaran

najib-tun-razak

SEPANG – Pasukan penyiasatan jenayah kini mempunyai gambaran lebih jelas mengenai kemungkinan punca tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dengan Belanda selaku penyelaras dan dianggotai negara Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, sedang meneliti dan menyiasat semua senario dengan terperinci.

“Kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya pada upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Majlis itu dihadiri waris dan anggota keluarga mangsa MH17 dan warga MAS.

Hadir sama termasuk isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin agama dan perwakilan-perwakilan asing.

Najib berkata kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan dan ia dipertanggungjawabkan kepada perkhidmatan polis dan pihak pendakwaan bagi mengumpul nahas bukti dalam mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab terhadap nahas MH17.

“JIT menjangkakan siasatan akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini,” katanya.

Najib berkata tujuan penyiasatan jenayah yang sedang dijalankan adalah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan insiden malang itu ke muka pengadilan dan semua mekanisme pendakwaan juga sedang dipertimbangkan.

“Walau bagaimanapun, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat disahkan. Namun begitu, kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.

“Kita akan memastikan pihak yang bertanggungjawab ini menerima hukuman yang setimpal,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata Malaysia telah membentangkan satu pelan resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa tribunal antarabangsa bagi membawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ke muka pengadilan.

Beliau berkata usul resolusi dan tribunal jenayah terbabit melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine
diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB untuk proses undian dilaksanakan.

“Kita berharap agar dengan gesaan berterusan kerajaan Malaysia melalui platform-platform antarabangsa sebegini akan sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan rakan mangsa dalam menyampaikan keadilan kepada mereka.

“Ini penting agar ahli keluarga mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka secara sebaik mungkin meskipun setelah kehilangan orang yang amat disayangi,” katanya. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan