Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Gabungan Persatuan Belia ESSZONE Sabah Sambut Baik Penstrukturan Semula Esscom

esszonetawau2

TAWAU: Gabungan Persatuan Komuniti Belia ESSZONE Sabah menyambut baik penstrukturan semula entiti Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Sambil menyifatkannya sebagai wajar dan tepat pada masanya, Pengerusi persatuan Mohd Zaki Harry Susanto berkata langkah itu diharap dapat memantapkan lagi operasi Esscom dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Bagaimanapun, beliau berkata penstrukturan semula itu perlu mengambil kira sensitiviti dan kehendak masyarakat setempat yang mahu melihat anak Sabah diberi ruang serta peluang memainkan peranan utama, khasnya dalam meneraju Esscom.

“Ini kerana, anak-anak tempatan Sabah khususnya yang berasal dari pantai timur Sabah lebih mengerti tentang sosiobudaya, bahasa, kehendak domestik, sosiopolitik dan pelbagai elemen lain.

“Anak jati Sabah lebih mudah mengenal pasti persekitaran dan membina rangkaian perhubungan yang lebih diyakini serta berkesan dalam kalangan penduduk tempatan mahupun negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Sehubungan itu beliau berharap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Majlis Keselamatan Negara mengambil kira kepentingan pegawai-pegawai kanan Esscom dari Sabah yang sedia ada dalam penstrukturan semula itu, selaras dengan semangat 1Malaysia.   “Kita harap orang kita (anak tempatan Sabah) yang bertugas dengan Esscom sekarang tidak tercicir ekoran penstrukturan semula itu,” katanya.

Mohd Zaki berkata Esscom juga perlu mengambil kira peranan yang boleh dimainkan oleh anak tempatan dengan melantik mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan.

Ketika mengumumkan penstrukturan semula Esscom di Putrajaya semalam, Najib berkata dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam akan diwujudkan.

Najib berkata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abd Rashid Harun dilantik sebagai Komander Esscom untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan.

Perdana Menteri juga dilapor berkata komponen penguatkuasaan dan tindakan awam akan diketuai seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) untuk mentadbir tiga bahagian – Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penguatkuasaan dan Tindakan Awam serta Bahagian Khidmat Keurusetiaan.  

Komen


Berita Berkaitan