Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,776

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Forum kesedaran pemindahan sel stem hematopoietic bakal diadakan di UMS

5:37pm 01/03/2016 Leolerry Lajius 35 views Tempatan
Dr.Asoha (tengah) ketika memberikan penerangan kepada wartawan ketika sidang media tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

Dr.Asoha (tengah) ketika memberikan penerangan kepada wartawan ketika sidang media tersebut.-Gambar Oleh Alex Mairin

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah akan mengadakan forum berkenaan dengan pendermaan dan pemindahan sel stem hematopoietic (Pemindahan tulang sum-sum) yang akan diadakan di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah pada 19 Mac akan datang.

Forum ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai pemindahan sel stem hematopoietic yang boleh membantu pesakit yang menghidap Leukaemia, Aplastic Anaemia dan Thalasaemia.

Menurut Pakar Paediatrik Haemato-Oncology, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Dr. Asohan Thevarajah, secara tradisinya pemindahan tulang sum-sum adalah dibuat dalam kalangan saudara atau yang mempunyai hubungan kekeluargaan sahaja.

“Kini terdapat satu kaedah pemindahan dari penderma yang tiada hubungan kekeluargaan dan hasilnya adalah sama seperti pendermaan yang dilakukan terhadap individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan,”katanya ketika sidang media di Hospital Likas, hari ini.

Tambah beliau, satu kaedah yang tidak diketahui oleh orang ramai juga kini boleh digunakan bagi merawat penyakit yang dikategorikan di bawah kelompok kanser darah.

“Kaedah yang saya maksudkan adalah penggunaan sel stem darah perifari iaitu sama seperti proses menderma darah yang menggantikan penuaian atau pengambilan sel stem sum-sum tulang,”katanya.

Di Malaysia terdapat dua pusat pendaftaran sel stem iaitu di Cord Blood Bank, Pusat Darah Negara Kuala Lumpur  dan Malaysian Stem Cell Registry (MSCR), Institute for Medical Research (IMR) Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Asohan lagi, Sabah mempunyai masalah untuk mencari penderma yang sesuai disebabkan oleh kepelbagaian etniknya dan juga perkawinan campur dalam kalangan masyarakatnya.

“Justeru, adalah penting bagi orang ramai tampil sebagai penderma yang akan didaftarkan kepada pusat pendaftaran dan sekiranya mempunyai kes mereka akan dihubungi,”katanya.

Individu yang ingin mendaftar sebagai penderma akan diuji air liurnya terlebih dahulu sebelum didaftarkan dan sekiranya didapati tiada masalah kesihatan individu tersebut akan di daftarkan dan akan dihubungi apabila terdapat kes yang memerlukan.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan