Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Formasi awan luar biasa gemparkan penduduk

5:07pm 27/06/2016 Pak Roshan 620 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
KEADAAN awan luar biasa yang kelihatan di beberapa daerah di pantai barat Sabah, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

KEADAAN awan luar biasa yang kelihatan di beberapa daerah di pantai barat Sabah, pagi tadi. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Formasi awan luar biasa kelihatan seperti ‘ombak besar’ dan ‘puting beliung’ di beberapa daerah di pantai barat Sabah, pagi tadi, menggemparkan penduduk.

Difahamkan, keadaan gumpalan awan luar biasa itu disedari di antara jam 7.30 pagi hingga 8 pagi iaitu ketika gerimis sebelum disusuli hujan lebat.

Penduduk Kampung Lumat, Sitti Sahrah Mohd Desa, 32, berkata beliau melihat awan berkenaan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di pekan Beaufort pada jam 7.40 pagi.

“Ini kali pertama saya melihat keadaan awan seperti itu menyebabkan timbul rasa takut.

“Cuaca ketika itu mendung, sedikit berangin dan gerimis. Bagaimanapun, selepas hujan , keadaan awan kembali seperti biasa,” katanya kepada BH.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padas Damit, Marif Yusof, berkata ketika kejadian, warga sekolah mengadakan perhimpunan mingguan di padang sekolah.

“Semua guru dan murid terkejut melihat kepulan awan luar biasa itu. Tidak lama kemudian, hujan gerimis disertai angin kuat. Kita terpaksa hentikan perhimpunan kerana keadaan cuaca ketika itu agak membimbangkan.

“Tidak lama selepas itu, berlaku hujan lebat kira-kira dua jam sebelum keadaan kembali seperti biasa,” katanya.

Gambar formasi gumpalan awan luar biasa itu dikongsi secara meluas di laman sosial khususnya Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApp.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azmi Daud, berkata fenomena awan kelihatan seperti ombak pagi tadi dikenali sebagai garisan badai.

Katanya, keadaan itu terbentuk akibat tiupan angin dari arah laut yang menyebabkan awan kelihatan bergulung-gulung seperti ombak. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan