Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Fokus saya hanya Hyper Act

SINGLE Kasih jadi taruhan terbaru Hyper Act.

 

Dua kali kehilangan vokalis tidak mematahkan semangat kumpulan Hyper Act untuk meneruskan perjuangan. Selepas ketiadaan Kecik awal tahun ini, kini mereka mendapat rakan baru, Firman Bansir.

Kehadiran juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014) itu memberi semangat baru untuk anggota lain, Sharizan Syarifudin atau Etan sebagai pemain gitar ritma, Md Zakir Mohd Rahizan (Akir, keyboard), Ezanear Baba Ahmad (Ejam, dram) dan Ahmad Azri Aziz (Loco, keyboard) mengatur langkah. Kini Hyper Act tampil dengan single Kasih ciptaan Akir dan lirik oleh Frozen.

Pada sesi fotografi bersama Selebriti Metro Ahad, baru-baru ini, keserasian Firman dan anggota lain dapat dilihat dan mereka selesa bergurau senda bersama.

Kata Firman, dia sangat gembira kerana impian sebagai vokalis Hyper Act jadi kenyataan. Segala fokus dan komitmennya kini memang sepenuhnya bersama Hyper Act.

“Saya memang bergerak berkumpulan dan sah menyertai Hyper Act sebagai vokalis pada Julai lalu. Kini kami sibuk dengan promosi single Kasih,” katanya.

Firman juga akui hubungan dengan anggota Hyper Act agak rapat kerana sudah kenal lama.

Katanya, dia mula kenal pada 2014 dan hubungan itu makin kukuh selepas kerap dipelawa sebagai penyanyi undangan.

Baru tiga tahun aktif membina nama dalam karier nyanyian selepas AF2014, Firman berkata dia akur nasib yang harus dilaluinya agak berliku.

“Ternyata bukan mudah membina karier sebagai penyanyi solo meskipun sudah menghasilkan album EP, dua tahun lalu.

“Penyertaan bersama Hyper Act menjadi harapan besar buat saya untuk karier nyanyian bergerak lancar,” katanya.

Firman juga akui tidak bimbang jika dibandingkan dengan vokalis Hyper Act sebelum ini.

Katanya, dia terima komen orang terhadapnya kerana setiap orang ada pendapat masing-masing.

“Saya tidak pernah takut dengan perbandingan. Bagi saya, terpulang kepada peminat untuk menilai.

“Apa yang paling saya utamakan sebagai fokus ialah mampu menyanyikan setiap lagu Hyper Act dengan baik kerana kumpulan ini sudah berada pada tahap tersendiri.

“Saya juga selesa menyanyikan lagu Hyper Act kerana alunan melodi dan liriknya cukup serasi dengan vokal saya,” katanya.

Penyanyi asal dari Tawau, Sabah ini bertekad tidak akan mensia-siakan peluang dan kepercayaan diberikan Hyper Act kepadanya.

“Memang pada mulanya pembabitan saya dengan Hyper Act sekadar memenuhi perancangan sebagai vokalis untuk projek lagu dijayakan.

“Sebaik kata sepakat dicapai dan semua anggota Hyper Act bersetuju untuk saya menjadi vokalis tetap kumpulan ini, ia adalah rezeki buat saya.

“Oleh itu, saya akan pastikan menjaga nama baik Hyper Act termasuk hubungan persahabatan supaya tidak timbul lagi masalah vokalis,” katanya.

Firman adalah vokalis ketiga Hyper Act selepas Ronnie Hussein dan Kecik atau Mohamad Fauzi Kamarudin.

Hyper Act ditubuhkan pada 2009, pernah popular dengan lagu seperti Harapan, Ku Tiba Lagi, Cinta, Hanya Aku, Takkan Pergi dan Bukan Untukku.

Malah sejak penubuhannya, Hyper Act berjaya mengukuhkan nama dan perjuangan mereka menerusi genre muzik pop rock.

Lagu Kasih juga dipilih menjadi lagu tema untuk drama Titian Cinta yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 yang baru berakhir.

Manakala muzik video single Kasih yang dimuat naik di YouTube sejak awal September lalu, hingga kini mencatat hampir empat juta tontonan.

Persefahaman Penting Dalam Kumpulan

Meskipun kebanyakan lagu Hyper Act berjaya menambat hati peminat, isu pertukaran vokalis sedikit sebanyak memberi tempias negatif.

Apatah lagi situasi itu membuatkan segelintir pihak mendakwa Hyper Act sebagai kumpulan bermasalah.

Mengulas mengenainya, Akir berkata walau apa yang berlaku ia satu pengalaman buat Hyper Act.

“Sebenarnya, tiada satu kumpulan muzik inginkan perpecahan termasuk kehilangan vokalis. Namun, apa yang dilalui Hyper Act sepanjang tujuh tahun adalah satu pengalaman.

“Oleh itu, biarlah apa saja orang hendak cakap, Hyper Act menerima dengan hati terbuka. Bagi kami, apa yang penting perjuangan Hyper Act tidak terhenti dan kami masih terus berkarya,” katanya.

Menurut Akir, apa yang diharapkan semua anggota Hyper Act kini persefaham sesama mereka kekal.

Bagi Loco pula, biar pun apa saja masalah, Hyper Act akan cuba mengatasi sebaik mungkin.

“Dalam satu kumpulan muzik dianggotai beberapa orang sudah pasti masing-masing ada ragam tersendiri.

“Apa yang paling utama mengelakkan sesuatu masalah berpanjangan adalah ego. Jadi, berbincang penyelesaian terbaik,” katanya.

Merancang untuk Hyper Act muncul dengan album tidak lama lagi, Loco berharap impian itu menjadi kenyataan. – myMetro Online

Komen


Berita Berkaitan