Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,799

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Fokus 12 Elemen Lonjak Prestasi Pendidikan Sabah – Jame Alip

7:43pm 20/01/2016 Pak Roshan 224 views Berita Pilihan,Mutakhir,Pendidikan

jame alip

KOTA KINABALU : Jabatan Pendidikan Sabah menggariskan 12 fokus utama selari dengan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) sebagai usaha melonjakkan prestasi serta kecemerlangan pendidikan di Sabah, pada tahun ini.

Pengarahnya Datuk Jame Alip berkata fokus itu antara lain mahu semua warga pendidik di negeri ini memberi tumpuan dalam meningkatkan prestasi serta peratus pelajar lulus dalam peperiksaan awam sekali gus mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan jabatan pada tahun ini.

“(Jabatan) menetapkan KPI pada tahun ini ialah 65 peratus pelajar lulus Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 92 peratus pelajar lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika menyampaikan perutusan awal tahun 2016 untuk warga pendidik Sabah di sini, Rabu.

Jame berkata warga pendidik perlu terus memberi fokus dalam mempertingkat kejayaan program Literasi dan Numerasi (Linus) 2.0 yang dicapai sebelum ini selain memperkasa pembelajaran abad ke-21 dengan menerapkan pendekatan pedagogi serta strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif.

Katanya Program Transformasi Daerah (DTP) juga akan digunakan semaksimumnya bagi membantu guru besar dan pengetua dalam bidang pengurusan; dan memantapkan kepimpinan dan pengurusan sekolah melalui Penilaian Kendiri Sekolah-Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (PKS-SKPM).

Jame juga mahu pemantapan sistem pengurusan kualiti di Jabatan Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah dipertingkat termasuk memastikan sistem penyampaian dilakukan dengan cepat dan tidak mengamalkan sikap suka menangguh agar masalah timbul dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata pembangunan sukan dan kokurikulum sekolah di Sabah perlu terus diberi perhatian selain meningkatkan prestasi serta kecemerlangan dicapai pada tahun lalu, yang mana, ramai kalangan pelajar Sabah mewakili pertandingan peringkat kebangsaan seterusnya antarabangsa.

Katanya peningkatan pengurusan asas pendidikan Islam sekolah rendah juga perlu diberi tumpuan bagi melahirkan generasi berakhlak mulia dan berbudi pekerti dan dalam masa sama, memantapkan golongan pendidik dan anggota kumpulan pelaksanan melalui program psikologi dan kaunseling.

Jame juga mahu warga pendidik di Sabah memberi fokus untuk mengurangkan kadar ponteng dalam kalangan pelajar termasuk menerapkan sikap kepedulian untuk mengenal pasti masalah dihadapi pelajar sehingga mendorong mereka ponteng dan malas ke sekolah.

Ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan perutusan awal tahun itu, Jame berharap semua warga pendidik Sabah terus melangkah kehadapan bagi merealisasikan kesemua 12 fokus utama ini agar prestasi pendidikan Sabah terus melonjak dan seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Mengenai program perutusan awal tahun itu, Jame berkata ia akan turut dibuat di lima daerah lain termasuk Sandakan dan Tawau sebagai mengimbas kembali cabaran sekali gus memberi motivasi kepada guru-guru untuk terus komited menjalankan tanggungjawab mendidik anak Sabah, katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan