Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

FOE dicadang jadikan acara tahunan produk pelancongan

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun (tengah) bersama Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai (berdiri dua kiri) serta Panglima Armada Laut Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman (dua dari kanan) hadir pada Majlis Perarakan Masuk TLDM ke Kota Kinabalu. – Foto Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Tradisi ‘Freedom Of Entry’ (FOE) akan dijadikan acara tahunan sebagai satu produk pelancongan berasaskan ketenteraan bagi menarik lebih ramai pelancong ke bandar raya ini.

Acara istimewa yang menjadi tradisi dalam kalangan bandar di Eropah sejak zaman dahulu itu dilihat mampu menjana ekonomi setempat selain mempromosikan bandar raya Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan menarik.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kementeriannya berterima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas inisiatif menganjurkan program yang hebat itu.

Katanya, perbincangan bersama pihak terbabit akan dilakukan bagi memikirkan kaedah dalam menjadikan FOE sebagai acara tahunan tetap dalam kalendar pelancongan negeri.

“Hari ini, sambutan sangat baik dan kita dapat lihat bukan sahaja anggota tentera tetapi juga orang ramai termasuk pelancong asing teruja menyaksikan program hari ini.

“Ini semestinya akan menjadikan Kota Kinabalu sebagai tempat yang menarik seperti Sepanggar hari ini yang menjadi satu tempat pilihan persinggahan tentera laut negara luar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan FOE di Lintasan Deasoka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Datuk Bandar DBKK, Datuk Yeo Boon Hai.

FOE adalah tradisi yang mana apabila kapal perang berlabuh di sebuah bandar, mereka harus mengisytiharkan niat yang damai sebelum dibenarkan masuk ke bandar raya berkenaan.

Masidi berkata, TLDM sudah menjadi sebahagian daripada warga bandar raya ini dan sangat sesuai diberikan peranan lebih besar membantu merancakkan ekonomi negeri.

“Sebagai contoh, di Edinburgh, Scotland, acara tradisi ini diadakan setiap tahun dan mampu menarik ramai pelancong datang menyaksikan acara membabitkan ketenteraan.

“Perbincangan akan dilakukan untuk bantuan dan peruntukan yang sesuai bagi acara ini diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Syed Zahiruddin berkata, FOE atau Perarakan Masuk TLDM ke Bandaraya Kota Kinabalu kali terakhir diadakan adalah pada 2009.

Katanya, FOE adalah tradisi yang dilakukan oleh tentera British dan Australia pada suatu masa dahulu sebagai penghormatan kepada Datuk Bandar. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan