Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,657

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Filipina Kutuk Pembunuhan Kejam Bernard Then Ted Fen

6:50pm 18/11/2015 Pak Roshan 614 views Mutakhir,Nasional

filipina

KUALA LUMPUR : Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur hari ini mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Bernard Then Ted Fen oleh Kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

Dalam satu kenyataan, kedutaan berkata pihak berkuasa Filipina akan terus memburu pelaku jenayah ini sehingga mereka dibawa ke muka pengadilan.

Kedutaan menyifatkan kekejaman yang dilakukan oleh kumpulan militan itu sebagai tidak berperikemusiaan dan tiada justifikasi.

“Kami ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dan orang tersayang atas kehilangan tragik ini.

“Kami berharap dan berdoa semoga keluarganya mempunyai kekuatan dan tabah untuk mengatasi masa yang amat sukar ini dalam kehidupan mereka,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MCA berkata parti itu berasa ngeri atas pembunuhan kejam Bernard Then Ted Fen yang dilakukan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang sekarang merancang untuk menyiarkan rakaman video mengenai pembunuhan kejam itu dengan memenggal kepala mangsa.

“Kami sama-sama berkabung dengan Puan Then dan waris-waris terdekat yang lain tetapi kami sedar sebanyak manapun ucapan takziah tidak dapat memberi ketenangan atau keselesaan kepada keluarga yang dirundung kesedihan ini,” kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wee berkata tindakan harus diambil oleh Kerajaan Malaysia dan Filipina dengan serta-merta bukan sahaja untuk keadilan tetapi juga untuk mengembalikan keyakinan terhadap keselamatan wilayah dan maritim Malaysia.

“Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di perairan antara Sabah dan Jolo, Basilan, Mindanao dan pulau-pulau lain di selatan Filipina,” katanya.

Beliau berkata memandangkan Sidang Kemuncak APEC di Manila dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 di Kuala Lumpur berlangsung sekarang, adalah wajar dan tepat pada masanya untuk meningkatkan keselamatan dan pertukaran maklumat perisikan antara kerajaan Malaysia, Filipina dan semua negara ASEAN yang lain untuk membendung dan memusnahkan pertumbuhan kumpulan Abu Sayyaf atau mana-mana kumpulan serpihan pengganas yang lain.

Menurut laporan media antarabangsa kumpulan penculik itu memenggal kepala Bernard Then, 39, semalam selepas dia culik oleh kumpulan bersenjata dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada Mei.

Bernard Then dilaporkan dibunuh di satu lokasi terpencil, dipercayai menjadi kubu kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan