Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Filipina Dakwa 5 Kru Hilang Jadi Mangsa Culik Abu Sayyaf

4:12pm 20/07/2016 Pak Roshan 1045 views Isu Semasa,Mutakhir

tongkang

MANILA – Nasib lima warga Malaysia hilang secara misteri dari sebuah kapal tunda sekitar perairan Sabah sah menjadi mangsa terbaharu culik untuk wang tebusan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Walaupun belum disahkan secara rasmi oleh pihak polis Malaysia, namun media tempatan memetik kenyataan penasihat keselamatan Presiden Filipina, Jesus Dureza yang berkata, lima mangsa itu kini berada di selatan Filipina.

Terdahulu, sebuah bot tunda yang kosong tanpa anak kapal dengan enjinnya masih lagi hidup ditemui oleh pasukan polis marin Malaysia terdampar di kawasan beting pasir perairan Dent Haven, Tambisa, Lahad Datu pada Isnin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun dalam sidang media pada Selasa berkata, polis dan ahli keluarga belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak penjenayah.

Lima kru itu semuanya merupakan rakyat Malaysia dan mereka dikenali sebagai Abd. Rahim Summas, 62; juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau dan Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau.

Juga Mohd. Ridzuan Ismail, 32; berasal dari Felda Jengka 7, Bandar Tun Razak, Pahang; Fandy Bakran, 26; dari Kampung Pukat, Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23; dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau percaya kumpulan penculik yang berpangkalan di selatan Filipina itu mendalangi kehilangan lima kru itu demi mendapatkan wang tebusan.

Laporan penemuan Surudong 3 dan 4 dibuat pemiliknya di Tawau selepas mendapat maklumat dari kapal tunda Sabah Tug 9 bahawa bot terbabit dilihat terkandas di perairan Dent Heaven dengan tiada seorang pun anak kapal.

Difahamkan, kapal tunda dengan tanpa apa-apa muatan tersebut ketika kejadian itu sedang dalam perjalanan balik dari Sandakan ke Semporna pada petang Ahad selepas selesai menjalankan kerja rutin penghantaran bekalan pasir.

Pada 1 April lalu, empat warga Malaysia yang juga kru sebuah kapal tunda diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata dari Filipina di perairan Pulau Ligitan berhampiran dengan Semporna namun berjaya dibebaskan kemudian.

Manakala pada 9 Julai lalu, tiga lelaki pekerja di sebuah bot ikan tempatan diculik oleh lima lelaki bersenjata yang tidak dikenali di kawasan perairan Sahabat 16, di Lahad Datu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan