Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

FESTIVAL KUIH BULAN BAKAL TARIK 5,000 PENGUNJUNG JUMAAT INI

Ginger (depan dua kanan), Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (depan dua kiri dan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (Satta) Datuk Seri Winston Liaw bergambar bersama selepas sidang media berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kesinambungan penganjuran Festival Kuih Bulan akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 Oktober dengan bersifat santai dan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Luyang Ginger Phoong berkata, walaupun Festival Kuih Bulan sudah berlangsung pada Ahad lalu, sambutan yang akan diadakan di Pusat Komersial Foh Sang itu mempunyai kelainan daripada sebelumnya.

“Sudah pasti Festival Kuih Bulan pada 30 September itu lebih bersifat rasmi namun festival kali ini kita jalankan dengan mengetengahkan komuniti yang mana pelbagai program akan diadakan melibatkan pengunjung-pengunjung yang datang memeriahkan acara ini.

“Festival Kuih Bulan yang diadakan baru-baru ini hanya melibatkan beberapa acara termasuk perarakan tanglung di Lintasan Deasoka, Gaya Street.

“Namun, pada penganjuran kali ini, kita akan mengadakan pertandingan tanglung yang terbuka kepada semua masyarakat, termasuk mereka yang telah menyertai perarakan baru-baru ini dan kita menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung yang hadir pada Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media penganjuran Festival Kuih Bulan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, jalan tengah pada Pusat Komersial Foh Sang akan ditutup pada 4 Oktober bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pemasangan kanopi dan acara pertama pada festival berkenaan.

“Seawal jam 6 petang pada Khamis sehingga Sabtu, kita akan mengadakan pasar malam yang menempatkan bazar makanan sepanjang jalan berkenaan.

“Pada Jumaat pula, beberapa acara melibatkan orang ramai juga dijalankan seperti permainan tradisional, persembahan pentas, pertandingan catur cina dan pertandingan tanglung selain majlis perasmian acara berkenaan.

“Sudah pasti bagi pertandingan tanglung, hadiah lumayan menanti para peserta,” jelasnya.

Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari kemuncak iaitu 5 Oktober, Ginger berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan pihak GrabCar bagi mendapatkan promosi perjalanan pergi dan balik ke festival berkenaan.

Tambahnya, pengunjung yang membawa kenderaan sendiri dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di kawasan Damai bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan Foh Sang. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan