Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Fasa Kedua Kajian Populasi Masyarakat Pala’u Dilaksanakan Awal Ogos Ini

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

SEMPORNA : Fasa kedua kajian populasi masyarakat Pala’u atau Bajau Laut di sekitar perairan daerah ini akan dilaksanakan pada awal Ogos ini, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun.

Beliau berkata kajian itu penting memandangkan terdapat dakwaan penglibatan segelintir orang Pala’u dalam aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara, termasuk bertindak sebagai tali barut kepada pihak musuh.

Kajian itu juga bertujuan mendapatkan maklumat tepat mengenai jumlah penduduk dan ketua isi rumah serta demografi lengkap mengenai penduduk yang berstatus warganegara dan bukan warganegara, katanya.

“Kita tidak mahu masyarakat Pala’u menjadi tali barut atau membiarkan diri mereka dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk melakukan jenayah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Sebab itu, kita laksanakan kajian populasi masyarakat Pala’u bagi merangka pelan strategi jangka panjang terutama daripada aspek keselamatan,” katanya ketika menyampaikan taklimat keselamatan pada majlis Al Falah (berbuka puasa) di Masjid Tampi-Tampi Darat, dekat sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi Udara Esscom Brig Jen Abd Razak Ahmad dan Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Anak Umbuas.

Pada Mac lepas, Esscom dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Jabatan Perangkaan dan Pejabat Daerah Semporna melancarkan fasa pertama kajian populasi masyarakat Pala’u di daerah itu yang tertumpu di penempatan utama masyarakat berkenaan iaitu sekitar perairan Pulau Kulapuan, Pulau Omadal dan Labuan Haji.

Abdul Rashid berkata Esscom ditubuhkan bukan untuk ‘menyusahkan” rakyat di Esszone, sebaliknya ia memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di zon itu sentiasa terpelihara ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu dua tahun yang lepas.

Mengenai kes penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan baru-baru ini, beliau berkata tanpa kerjasama orang ramai termasuk pemimpin masyarakat, bukan mudah untuk mengekang jenayah penculikan yang didalangi sama ada oleh orang dalam atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah berada di negara ini.

“Penculik dari negara jiran tidak mungkin tahu tempat dan sasaran dengan tepat di Esszone yang luas ini tanpa maklumat yang diberikan oleh tali barut yang sudah berada di kawasan ini…inilah cabaran utama Esscom,” katanya.

Sehubungan itu, Abd Rashid meminta komuniti Esszone supaya bekerjasama dengan Esscom dengan melaporkan kehadiran PATI atau orang yang mencurigakan di kawasan masing-masing bagi memudahkan operasi pemantauan.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan