Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,822

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Farmasi Pandu Lalu Bakal Disediakan Di UTC Kota Kinabalu

6:39pm 29/08/2016 Pak Roshan 107 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

utc

KOTA KINABALU : Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu yang akan dikendalikan oleh Jabatan Farmasi Negeri bakal disediakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu tidak lama lagi.

Ketua Jabatan (Pengurusan) UTC, Jimmy Berukang berkata UTC Kota Kinabalu kini sedang membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan kesihatannya di pusat itu untuk menyediakan farmasi tersebut.

“Farmasi Pandu Lalu ini fungsinya cuma sebagai tempat mengambil ubat susulan sahaja. Maksudnya pelanggan hanya singgah dan terus mengambil ubat tanpa perlu menunggu lama,” katanya.

Beliau berkata kemudahan berkenaan akan dibina berdekatan dengan Klinik 1Malaysia yang sedia beroperasi di UTC berkenaan.

Menurut Jimmy perkhidmatan tersebut merupakan sesuatu yang baharu yang mungkin belum ada di UTC lain di negara ini bagi memudahkan dan melancarkan urusan pengambilan ubat para pelanggan.

Sementara itu, beliau berkata sejak UTC Kota Kinabalu beroperasi pada 16 Dis 2013, pusat itu telah menerima seramai 2,167,812 pengunjung bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan.

Jimmy berkata jumlah pengunjung adalah berbeza mengikut musim namun puratanya antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung sehari.

“Jumlah pengunjung mengikut musim juga. Contohnya pada musim cuti sekolah pengunjung bertambah sehingga 3,000 lebih dan apabila musim BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) boleh mencecah sebanyak 5,000 orang sehari,” katanya.

Beliau berkata, UTC yang beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam itu mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pengunjung sehingga pada waktu hujung minggu pun pengunjung tetap datang untuk mendapatkan perkhidmatan.

UTC, yang menawarkan perkhidmatan sehenti di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam satu bangunan yang disediakan oleh pelbagai jabatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perbankan.

Antaranya ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Pos Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta turut dilengkapi surau dan kafeteria.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan