Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,791

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Fama Berusaha Perbanyak Pasar Tani Kekal Di Sabah

4:08pm 03/07/2016 Pak Roshan 27 views Mutakhir,Tempatan

FAMA

KOTA KINABALU : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah kini sedang mewujudkan Pasar Tani Kekal di Kota Kinabalu, Kudat, Sook dan Tawau.

Pengarahnya, Ribin Wahid berkata sebuah Pasar Tani Kekal di negeri ini iaitu di Keningau sudah beroperasi sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata pelaksanaan Pasar Tani Kekal di Kota Kinabalu, Kudat, Sook dan Tawau pula masih dalam proses kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pelan dan reka bentuk Pasar Tani Kekal Kota Kinabalu sudah dihantar dan masih menunggu kelulusan, bagi Kudat kita masih dalam proses penyediaan pelan dan reka bentuk untuk dihantar ke Majlis Daerah Kudat.

“Kita berharap pelaksanaan Pasar Tani Kekal Kudat dapat dimulakan akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ribin, FAMA masih menunggu kelulusan pihak Daerah Kecil Sook untuk menaik taraf pasar tani sedia ada manakala Majlis Perbandaran Tawau menyokong cadangan pewujudan Pasar Tani Kekal di daerah itu, namun tapak yang dicadangkan iaitu di Balung belum dimuktamadkan.

Beliau berkata prinsip Pasar Tani Kekal yang dilaksanakan di Sabah ialah sama ada menaik taraf kemudahan di tapak Tamu (pasar minggu) sedia ada atau mewujudkan Pasar Tani Kekal baharu, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan daerah dan masyarakat setempat.

Ribin berkata matlamat FAMA ialah membantu memudahkan petani memasarkan terus hasil keluaran mereka kepada pelanggan dan pada masa sama memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli hasil pertanian segar dengan harga berpatutan berbanding pasar biasa.

Kini terdapat 42 pasar tani di seluruh Sabah dengan 925 peserta yang menghasilkan nilai jualan kira-kira RM12 juta setahun.
— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan